
Chong berkata, dengan tambang penerbangan semakin tinggi, rakyat Sarawak kini tertanya-tanya bila proses pemerolehan itu akan selesai.
“Kami gesa kerajaan (negeri) bersikap telus mengenai proses pemerolehan syarikat penerbangan itu dan berikan garis masa yang dijangka,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut meminta kerajaan negeri menjelaskan kos pemerolehan dan operasi syarikat penerbangan itu.
“Berapa anggaran harga tiket untuk rakyat Sarawak menaiki penerbangan milik kerajaan (negeri) ini pada musim perayaan?” soalnya.
Menurut Chong, dengan cuti sekolah yang akan datang, penerbangan sehala kelas ekonomi ke Kuala Lumpur boleh memakan belanja lebih RM1,000.
Beliau memetik contoh tambang yang mahal, seperti penerbangan sehala dari Kuching ke Kuala Lumpur menggunakan AirAsia pada 13 Sept berharga RM849; dari Sibu ke Kuala Lumpur RM1,629; dan dari Miri ke Kuala Lumpur RM1,709.
Katanya, walaupun sesetengah pihak mungkin mendakwa harga tiket mahal hanya pada musim cuti dan musim perayaan, namun Malaysia mempunyai banyak musim sebegini, dan kebanyakan rakyat Sarawak hanya boleh melakukan perjalanan dalam tempoh itu.
“Ada banyak cara kerajaan Sarawak boleh libat urus dengan syarikat-syarikat penerbangan ini melalui rundingan kerajaan-swasta untuk mendapatkan harga tiket lebih murah bagi rakyat Sarawak pada musim perayaan,” katanya.
“Perkara ini boleh dilakukan, (cuma) persoalannya, adakah kerajaan negeri cukup prihatin untuk melakukannya?”
Pada Julai tahun lepas, kerajaan Sarawak bersetuju mengambil alih perkhidmatan udara luar bandar daripada kerajaan persekutuan, membuka jalan kepada pemerolehan MASwings, anak syarikat Malaysia Airlines.
Bagaimanapun, jangka masa untuk pemerolehan itu dilihat tertangguh.
Pada Oktober lepas, Premier Sarawak Abang Johari Openg dilaporkan berkata, beliau menjangkakan pemerolehan MASwings akan selesai dalam tempoh tiga bulan, supaya rakyat Sarawak boleh menaiki penerbangan milik kerajaan negeri menjelang 2024.
Bagaimanapun pada Mac tahun ini, beliau berkata, kerajaan negeri dijangka memuktamadkan perbincangan dengan pihak berkuasa persekutuan berhubung perkara itu menjelang hujung tahun ini.