
Beliau berkata nilai-nilai ini penting untuk rakyat Malaysia ketika negara meraikan ulang tahun kemerdekaannya yang ke-67, dan ia harus menjadi keutamaan setiap lapisan masyarakat di semua peringkat.
“Pada usia negara 67 tahun ini, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengutamakan konsep faham, hormat, dan terima. Sikap ini penting untuk memupuk keharmonian dalam masyarakat,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata pemahaman adalah kunci kepada penerimaan yang akan menepis segala kegusaran yang timbul daripada perbezaan, dan rakyat perlu melihat perbezaan sebagai suatu kepelbagaian dan anugerah istimewa.
Kementerian Perpaduan Negara selaku peneraju agenda perpaduan nasional diberi kepercayaan untuk menyelaras Kontinjen Perpaduan Malaysia Madani dalam segmen komuniti acara perbarisan dan perarakan esok.

Aaron berkata kontinjen itu akan melibatkan 600 orang peserta yang mengenakan pakaian tradisional pelbagai etnik di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak termasuk Orang Asal. Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini akan berlangsung esok di Dataran Putrajaya.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan Timbalan Menteri Perpaduan Negara K Saraswathy memohon agar semua pihak menghentikan serta-merta polemik berhubung isu-isu yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat.
Merujuk kepada isu poster komik berkaitan agama Hindu yang tular baru-baru ini, beliau berkata aspek sensitiviti agama boleh membawa kepada ketegangan dan perpecahan yang tidak diingini.
“Oleh itu saya menyeru semua pihak untuk terus memupuk sikap saling menghormati dan mengelakkan daripada membuat kenyataan yang boleh menggugat perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini,” katanya.