Paip pembetungan bukan punca tanah jerlus di Kerinchi, kata IWK

Paip pembetungan bukan punca tanah jerlus di Kerinchi, kata IWK

Indah Water Konsortium berkata siasatan pihaknya mendapati paip dan lurang pembetungan awam berada dalam keadaan baik.

Isnin lalu satu kejadian longkang runtuh dilaporkan berlaku hingga mengakibatkan lubang besar berlaku di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi.
KUALA LUMPUR:
Indah Water Konsortium (IWK) menjelaskan kejadian tanah jerlus di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, Isnin lepas bukan berpunca daripada paip pembentungan syarikat itu.

Menurut IWK dalam kenyataan hari ini, pasukan operasinya telah menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan mendapati aliran air kumbahan di jajaran paip pembetungan lancar seperti biasa.

“Pemeriksaan lanjut telah dibuat petang semalam dengan menggunakan kaedah kamera litar tertutup (CCTV) dan hasil siasatan mendapati bahawa paip dan lurang pembetungan awam berada dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda kerosakan dikenal pasti,” menurut kenyataan itu.

Syarikat itu berpendapat kejadian tersebut berlaku disebabkan oleh punca lain yang memerlukan penyiasatan terperinci oleh agensi berkaitan.

Menurut IWK, hasil siasatan CCTV turut dimaklumkan kepada pihak DBKL.

DBKL dalam hantaran di laman Facebook pada Selasa memaklumkan kejadian longkang runtuh itu mengakibatkan lubang besar di Kampung Kerinchi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.