
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bertanggungjawab untuk menyelamatkan negara daripada kelompok kecil yang menghasut ke arah keganasan, kebencian, dan permusuhan.
Beliau turut menitipkan amaran buat kelompok berkenaan.
“Andai kata ada mana-mana kelompok kecil yang bawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian dan permusuhan antara satu sama lain, saya tidak peduli sama ada disenangi media antarabangsa atau negara luar – tugas kita adalah selamatkan negara Malaysia tercinta ini,” tegasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.
Anwar menegaskan bahawa semangat perpaduan sangat penting bagi Malaysia maka ia tidak boleh diremehkan.
“Kita mulakan. Segala kuasa dan kekuatan ada… kalau tidak cukup, kita pinda, tambah peruntukan undang-undang,” katanya.
“Mahu popular? Iya. Berjuang tetapi jangan remeh dan hina mana-mana kaum atau agama, wilayah, negeri kita.”