Elaun Skuad Sabil, Pemuda Bersatu lapor polis

Elaun Skuad Sabil, Pemuda Bersatu lapor polis

Pemuda Bersatu mendakwa Zahid Hamidi menggunakan wang rakyat untuk membayar elaun kepada skuad sukarela diterajui Pemuda Umno itu.

Pemuda Bersatu menunjukkan laporan polis yang dibuat mereka terhadap Presiden Umno Zahid Hamidi di IPD Dang Wangi.
KUALA LUMPUR:
Pemuda Bersatu membuat dua laporan polis terhadap Zahid Hamidi bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat presiden Umno itu berkait pemberian elaun kepada Skuad Sabil dan isu pelantikan perdana menteri.

Setiausaha Kerja Pemuda Bersatu, Meor Naqiuddin berkata, Zahid menyalahguna kuasa apabila menggunakan dana kerajaan untuk memberi elaun kepada Skuad Sabil yang diterajui pemuda Umno.

Katanya, sebagai timbalan perdana menteri, Zahid tidak sepatutnya sesuka hati menggunakan duit rakyat untuk membayar kumpulan yang melakukan kerja parti politik.

“Kita melihat atas dasar (Zahid) menteri yang jaga Angkatan Pertahanan Awam (APM), beliau menggunakan kuasa tersebut untuk memberi keuntungan ataupun memberi kelebihan kepada skuad terletak di dalam parti Umno itu sendiri.

“Ini semua duit kita, duit pembayar cukai. Kita nak tahu apa asas untuk melayakkan Skuad Sabil diberi elaun guna dana kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi.

Meor juga tidak menolak pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, Zahid mengumumkan Skuad Sabil akan menjadi sebahagian daripada APM dan bakal diberikan elaun.

Sementara itu Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, Akmal Zahin Zainal Zahir berkata satu lagi laporan polis terhadap Zahid dibuat berkait dakwaan beliau mempunyai 30 akuan berkanun (SD) Ahli Parlimen BN untuk menamakan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Katanya, pihak berkuasa digesa menyiasat sekiranya berlakunya penipuan atau cubaan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong ketika itu dalam melantik perdana menteri selepas PRU15.

“Pada 22 Nov 2022 Yang di-Pertuan Agong menitahkan 30 Ahli Parlimen BN menghadap secara individu di Istana Negara tetapi apa yang berlaku hanya tiga sahaja Ahli Parlimen yang datang.

“Saya minta supaya polis menyiasat sekiranya terdapat sebarang arahan untuk melarang, menghalang atau mendorong tindakan dari Ahli Parlimen BN lain tidak hadir ke Istana bagi menyatakan pendirian mereka dalam urusan pelantikan perdana menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.