Penganalisis beri amaran sokongan kepada Najib mungkin bermotif politik

Penganalisis beri amaran sokongan kepada Najib mungkin bermotif politik

Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, beberapa tokoh dalam Umno mungkin cuba menggunakan populariti Najib Razak dalam kalangan akar umbi demi kepentingan sendiri.

Ketika menutup tirai Perhimpunan Agung Umno 2024 Sabtu lalu, Presiden Zahid Hamidi memberi penghormatan kepada Najib Razak dengan mendeklamasi ‘Puisi Buat Sahabat’ yang memuji sumbangannya kepada parti dan negara. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Walaupun beberapa pemimpin Umno menyuarakan sokongan kepada Najib Razak pada perhimpunan agung parti baru-baru ini, seorang penganalisis politik memberi amaran ada yang mungkin berbuat demikian tanpa motif ikhlas.

Asrul Hadi Abdullah Sani yang pernah bersama penyedia khidmat nasihat strategi BowerGroupAsia, mengakui bekas perdana menteri itu masih merupakan tokoh sangat disayangi dalam Umno disebabkan persona “Bossku” dan popularitinya dalam kalangan akar umbi parti serta masyarakat Melayu.

Asrul Hadi Abdullah Sani.

“Ironinya, hukuman penjara membuatkan dia semakin diminati penyokong. Saya rasa ramai pemimpin Umno terkejut melihat bekas pemimpin mereka dipenjarakan dan keikhlasan itu ada.

“Tetapi, tidak dapat dinafikan sokongan terhadap Najib juga boleh bermotifkan politik disebabkan popularitinya dalam kalangan akar umbi parti,” katanya kepada FMT.

Beliau turut menyifatkan sokongan kepada Najib sebagai “pengimbang penting” terhadap Presiden Umno, Zahid Hamidi yang cuba mengukuhkan kuasanya dalam parti.

Bagaimanapun, katanya, Zahid – yang kelihatan sebak ketika mendeklamasi puisi kepada Najib Sabtu lalu – tiada insentif sebenar untuk mendesak bekas bosnya dibebaskan dari penjara.

“Najib pasti akan menjejaskan kepimpinan dan kedudukannya dalam parti. Walaupun Zahid terus menjadi presiden Umno, ramai yang akan menganggap Najib sebagai sumber kuasa sebenar dalam parti.

“Bagi penyokongnya, Najib satu-satunya pemimpin yang boleh menyatukan parti serta mengembalikan sokongan pengundi Melayu dan paling penting ahli Umno yang telah keluar parti.”

Nama Najib berulang kali disebut dalam Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, dengan pemimpin tertinggi berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan pengampunan penuh diraja buat bekas presiden mereka.

Ketika menutup tirai perhimpunan agung Sabtu lalu, Zahid memberi penghormatan kepada Najib dengan mendeklamasi “Puisi Buat Sahabat” yang memuji sumbangannya kepada Umno dan negara.

Februari lalu, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman penjara Najib dalam kes SRC International daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 71, yang berdepan tiga kes jenayah sedang dibicarakan, mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 dan dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Azmi Hassan.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, Najib masih mempunyai populariti serta pengaruh dalam Umno, dan pembebasannya dari penjara akan digembar-gemburkan akar umbi.

“Sama ada semasa Perhimpunan Agung Umno atau hari biasa, sesiapa yang mendesak pembebasan Najib, termasuk Zahid akan dianggap hero kerana ahli Umno berpendapat Najib tidak dilayan secara adil walaupun melalui proses undang-undang.

“Jika Najib keluar (dari penjara), Umno sudah pasti lebih kuat dan mudah menarik sokongan Melayu. Tidak kira sama ada Najib memegang jawatan dalam Umno atau hanya memainkan peranan di belakang tabir, (kehadirannya) akan memberi manfaat kepada Umno.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.