‘Orang miskin nak duk mana’, PM tak peduli bantahan bina rumah mampu milik

‘Orang miskin nak duk mana’, PM tak peduli bantahan bina rumah mampu milik

Anwar Ibrahim berkata kediaman golongan berpendapatan rendah perlu dibina memandangkan mereka juga bekerja di Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika perasmian dan pecah tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan mempedulikan bantahan golongan elit terhadap pembinaan projek rumah mampu milik di sekitar ibu negara.

Katanya, kediaman untuk golongan berpendapatan rendah perlu dibina memandangkan mereka juga bekerja di Kuala Lumpur.

“Setiap kali buat perumahan rakyat, ada sahaja bantahan (golongan elit) termasuk Taman Desa ini. Ada kawan-kawan saya pesan untuk jaga kebersihan, berikan keselesaan rakan yang berpendapatan tinggi.

“Kemudian golongan miskin nak duduk mana? Saya tidak akan pedulikan bantahan sebegini. Kawasan orang miskin dan berpendapatan sederhana tentunya budaya berbeza.

“Jadi mereka (golongan berpendapatan rendah) tinggal di mana kalau tak sediakan rumah kos rendah nak suruh mereka tinggal di Hutan Melintang?” katanya ketika berucap pada majlis perasmian dan pecah tanah Residensi Suria Madani di Taman Desa.

Sebelum ini dilaporkan penduduk membantah projek perumahan berkepadatan tinggi yang dianggap sebagai ‘pembangunan berlebihan’ di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Anwar berkata rakyat seharusnya bersatu dan mengambil semangat kemerdekaan dengan tidak meminggirkan golongan berpendapatan rendah.

Katanya, kehebatan sesebuah bandar itu bergantung kepada keupayaan kerajaan dalam menyantuni kepentingan rakyat secara menyeluruh.

“Kita perlu tolak ansur dan bertanggungjawab untuk memastikan kawasan perumahan yang lebih luas dan selesa kepada golongan berkenaan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan syarat pembinaan projek perumahan akan datang perlu meliputi keselesaan hidup, kehijauan kawasan, kemudahan rekreasi dan kemudahan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.