‘Gambar lama’, DBKL seru jangan timbulkan kegelisahan awam

‘Gambar lama’, DBKL seru jangan timbulkan kegelisahan awam

DBKL jawab penularan gambar lama kejadian tanah mendap didakwa berlaku di Kampung Attap.

dbkl
Gambar memaparkan polis memeriksa kerosakan di jalan, yang menurut DBKL telah dibaiki. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyeru berita tidak sahih berkait kejadian tanah mendap tidak dikongsi, kerana ia boleh menimbulkan kegelisahan awam.

Pihak berkuasa tempatan itu menjawab penularan gambar lama kejadian tanah mendap yang didakwa berlaku di sekitar Jalan Dewan Bahasa, Kampung Attap di ibu negara hari ini.

“Dimaklumkan bahawa gambar tersebut merupakan gambar lama dan kerja-kerja pembaikan terhadap kerosakan di jalan tersebut telah dijalankan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak berkongsi berita yang tidak sahih kerana ianya boleh menimbulkan kegelisahan awam,” katanya dalam kenyataan.

Ekoran kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu, tular di media sosial dakwaan kononnya lubang benam gergasi berpotensi berlaku di Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif berkata dakwaan mengatakan tidak selamat mesti menunjukkan bukti dan kajian terperinci.

DBKL juga diarah untuk segera menjalin kerjasama secara dekat dengan pakar geologi dan prasarana bagi menilai serta mengurangkan sebarang risiko insiden tanah mendap.

Seorang wanita warga India terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8m di Jalan Masjid India pada Jumaat lepas, kejadian yang melancarkan operasi mencari dan menyelamat membabitkan pelbagai agensi, kini memasuki hari ketujuh.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata belum tiba masa untuk mewartakan lokasi tanah jerlus di Jalan Masjid India sebagai zon tidak selamat kerana kejadian itu belum diisytiharkan sebagai bencana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.