Terima suapan, buat tuntutan palsu; bekas ahli Maidam, isteri didenda RM26,000

Terima suapan, buat tuntutan palsu; bekas ahli Maidam, isteri didenda RM26,000

Mohamad Zahari Harun dan Lydia Irmawati Mahmud mengaku bersalah atas semua tuduhan pilihan.

Mohamad Zahari Harun dan isterinya Lydia Irmawati Mahmud dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Bekas ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) serta isterinya masing-masing didenda RM10,000 dan RM16,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana menerima suapan dan mengemukakan tuntutan palsu berhubung agihan zakat.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu selepas Mohamad Zahari Harun, 64, dan Lydia Irmawati Mahmud, 41, mengaku bersalah atas semua tuduhan pilihan.

Mohamad Zahari berdepan satu tuduhan pilihan manakala isterinya, yang juga pemilik syarikat kutipan zakat Amcare Agency, berdepan empat tuduhan pilihan.

Mohamad Zahari didakwa mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana menerima wang tunai berjumlah RM5,500 daripada isterinya pada 15 Julai 2020 di Maidam.

Lydia Irmawati pula didakwa memperdayakan penolong akauntan Bahagian Pengurusan Zakat Maidam Terengganu berhubung tuntutan bayaran balik 2/8 bahagian (fakir dan miskin) (wakalah) berjumlah RM3,063.

Wanita itu juga didakwa memperdayakan penolong akauntan sama berhubung tuntutan bayaran komisen bagi syarikatnya berjumlah RM3,167.56 daripada wang zakat berjumlah RM50,681 yang dikeluarkan oleh Felda Kerteh 2 kepada Maidam, sedangkan ia sedekah dan beliau tidak layak membuat tuntutan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu pada Disember 2020 hingga September 2021 di Pejabat Bahagian Pengurusan Zakat Maidam di sini mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua bulan ke atas Mohamad Zahari dan RM4,000 atau penjara dua bulan bagi setiap tuduhan ke atas Lydia Irmawati.

Mahkamah turut memerintahkan wang berjumlah RM6,919.66 di dalam akaun bank Amcare Agency dilucut hak kepada kerajaan.

Terdahulu, Azhar berkata, pengakuan salah pasangan itu menjimatkan masa mahkamah dan semua pihak.

“Kesalahan sebegini jika tidak dibendung boleh membawa musibah lebih besar kepada masyarakat,” katanya.

“Mahkamah berdoa kepada Allah semoga hukuman ini boleh menjadi pengajaran kepada kamu dan yang lain.”

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala kedua-dua tertuduh diwakili Azrul Zulkifli Stork selaku peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.