
Ketua Polis Johor M Kumar, berkata siasatan yang dijalankan itu termasuk untuk mengenal pasti sekiranya terdapat kelonggaran dari sudut SOP.
“Polis dalam proses mengkaji dan siasat punca sebenar kejadian terbabit, namun masih terlalu awal untuk diberi ulasan.
“Beri ruang kepada polis untuk jalankan siasatan termasuk sekiranya ada kelonggaran dari sudut SOP dan sebagainya,” katanya pada sidang media di IPK Johor.
Beliau berkata, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku, sekali gus menjelaskan bom jenis Aerial 500 Lbs 1952 yang seharusnya dimusnahkan semalam, sedang dalam proses untuk dilupuskan.
Menurutnya, kedua-dua anggota itu yang sebelum ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang telah dipindahkan ke wad biasa.
Hari ini, Ketua Polis Kluang Bahrin Mohd Noh, dilaporkan berkata kejadian itu menyebabkan dua koperal, Abdul Halim Zainal, 39, patah tulang pinggul dan tiga tulang rusuk sebelah kiri, manakala Muhammad Faruuqi Shamsary, 34, patah tulang paha dan tulang rusuk sebelah kiri.
Bahrin berkata, berkata kejadian pada 2.20 petang itu berlaku ketika kedua-dua anggota dari IPK Johor berkenaan dalam penugasan memusnahkan bom lama terbabit yang dijumpai orang awam.
Namun, ketika kerja-kerja memusnahkan bom dijalankan, berlaku runtuhan tanah pada dinding lubang di lokasi sehingga menyebabkan kedua-dua mereka tertimbus dan cedera.