
Jurucakap kerajaan perpaduan Fahmi Fadzil berkata, laporan itu sebaliknya dibuat oleh wakil Istana Pahang.
“Pihak kerajaan tak masuk campur dalam hal ini. Siasatan dilakukan oleh polis dan pendakwaan dibuat berdasarkan siasatan tersebut, kerajaan tidak terlibat.
“Ada tohmahan dan dakwaan (terhadap kerajaan) … Sama juga macam kes menteri besar Kedah sebelum ni, (dilaporkan oleh) Istana Selangor,” katanya pada sidang media di Perbadanan Putrajaya.
Fahmi yang juga menteri komunikasi turut mengingatkan semua pihak agar mengelak daripada membangkitkan sentimen 3R (raja, agama dan kaum), terutamanya melibatkan raja-raja.
Isnin lepas, Muhyiddin yang juga pengerusi PN mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas tuduhan mengeluarkan perkataan hasutan dalam ceramah ketika kempen PRK Nenggiri pada 14 Ogos.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas kritikan penggunaan Akta Hasutan dan sama ada PH akan menilai kembali penggunaan akta itu, Fahmi berkata, pihaknya belum berbincang mengenai perkara itu kerana ketika ini masih ada perkara yang perlu dipertimbangkan.
“Kerana kita sedia maklum, dalam kes raja-raja Melayu, Duli Yang Maha Mulia (Agong) tidak mempunyai forum jawab tohmahan, berdebat seperti Ahli-Ahli parlimen, orang awam, jadi di situ pemikiran atau pendirian kerajaan dalam hal ini.
“Kita perlu pastikan institusi raja ini bukan hanya berdaulat, (tetapi) juga dipertahankan. Pada waktu ini, fungsi itu ada juga boleh dimainkan undang-undang, termasuk Akta Hasutan,” katanya.