
Pada 2020, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, 60, memfailkan saman terhadap ketiga-tiga pihak itu dan pegawai penyiasat Dang Wangi Faizal Abdullah kerana didakwa melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan untuk menentukan punca kematian Ivana, 18.
Hari ini, ketika perkara itu disebut untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain, Peguam Persekutuan Mohd Khairulhazman Ghazali berkata, mediasi itu akan dijalankan di Pusat Mediasi di sini dari 23 hingga 27 Sept ini.
Perkara itu tidak dibantah peguam mewakili Verstappen, SN Nair yang menyatakan pihaknya bersedia untuk terlibat dalam proses itu.
Sebelum menetapkan 30 Sept untuk pengurusan kes, Roz Mawar mengingatkan Mohd Khairulhazman bahawa saman itu sudah berlanjutan hingga empat tahun.
Tarikh perbicaraan juga sudah ditetapkan pada 14 Okt, dengan saksi dari luar negara bersedia memberikan keterangan, tambahnya.
“Apabila anda kata sedia untuk mediasi, adakah anda baru putuskan perkara itu pagi tadi atau sudah dirancang lebih awal?” tanya Roz Mawar kepada Mohd Khairulhazman.
Menjawab persoalan itu, Mohd Khairulhazman berkata, arahannya adalah untuk menyampaikan cadangan kerajaan dan mediasi akan dijalankan dari 23 hingga 27 Sept.
Dalam pernyataan tuntutan, Verstappen mendakwa anak perempuannya ditemukan maut di tingkat enam CapSquare Residence pada 7 Dis 2017 selepas terjatuh dari unit kondominium di tingkat 20 yang dimiliki pasangan warga Amerika Syarikat, Alex Johnson dan Luna Almazkyzy.
Beliau mendakwa, polis cuai apabila gagal menutup lokasi kejadian atau menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy.
Selain itu, polis juga gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran pasangan itu sebagai saksi utama semasa inkues, dakwanya.
Pada 18 Mac 2019, Mahkamah Koroner memutuskan, kematian Ivana disebabkan oleh kemalangan akibat nahas (misadventure).
Tidak berpuas hati dengan keputusan koroner, Verstappen mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pada 22 Nov 2019, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah mengetepikan keputusan Mahkamah Koroner dan menggantikannya dengan ‘kematian yang disebabkan oleh seorang atau beberapa individu tidak dikenali’.