
Zaliha turut memberi jaminan Kuala Lumpur masih selamat, tetapi menggesa orang ramai berjaga-jaga di sekitar kawasan yang terjejas oleh tanah jerlus.
“Kita mesti berhati-hati di sekitar kawasan lubang benam (akibat tanah jerlus), terutama berhampiran dengan Jalan Masjid India. Pihak berkuasa sudah pun memastikan orang ramai menjauhi kawasan itu.
“Bahagian lain KL masih selamat,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak longkang runtuh di Jalan Pantai Permai, Kampung Kerinchi, petang tadi.
Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil langkah keselamatan bagi mengepung kawasan longkang yang runtuh pada Isnin itu, kejadian kedua daripada tiga kejadian lubang benam di Kuala Lumpur sejak seminggu lepas.
Kejadian pertama membabitkan warga India, Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8m yang terbentuk akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat lepas. Setakat ini, wanita itu masih belum ditemui.
Hari ini, sebuah lagi lubang benam muncul di depan Masjid India susulan hujan lebat. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Sementara itu, Zaliha berkata, kementeriannya bercadang memetakan Kuala Lumpur bagi mengenal pasti kawasan berisiko tinggi lubang benam dan bahaya lain.
“Kita akan mulakan (pemetaan) secepat mungkin, tetapi perkara ini akan ambil masa untuk meliputi seluruh bandar.
“Keutamaan akan diberikan kepada kawasan lubang benam muncul baru-baru ini,” katanya.
Zaliha juga berkata, kementeriannya belum menerima laporan geoteknikal mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, kebanyakan bangunan dan prasarana perparitan KL berusia lebih 30 tahun, dan beliau mencadangkan bahawa ujian integriti perlu dijalankan untuk memastikan keselamatannya.
“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra), Konsortium Indah Water dan pihak lain yang bertanggungjawab (untuk menangani perkara ini),” katanya.
Zaliha berkata, prosedur operasi standard (SOP) bagi projek pembangunan sedang dikaji dan diperkukuh, mengambil kira kajian geoteknikal.
“Kajian geoteknikal ini ada dilakukan di kawasan bercerun khususnya, tetapi pada masa akan datang, mungkin kita akan lihat juga keperluan (meliputi) kawasan rata, terutamanya dengan keadaan cuaca tidak menentu dan hujan lebat, yang mungkin menyebabkan struktur tanah lebih longgar dan lembut,” katanya.