
Pertama kali berkongsi kisah dilantik sebagai perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022, Ahli Parlimen Bera berkata kerana itu beliau berhati-hati dalam tindakannya kerana ingin menjaga hati pelbagai pihak.
“Suka atau tidak dia presiden parti saya… saya nombor tiga (naib presiden 1), mesti saya hormat dia… punya saya nak jaga hati mereka ini, waktu saya jadi menteri pertahanan, jadi TPM, PM maksimum (pengiring) berpuluh-puluh orang jadi pengiring saya.
“Saya tak pernah minta bila mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno turunkan saya dekat Level 4 (lobi Menara Dato Onn), sebab kalau turunkan dekat situ orang akan tengok,” katanya dalam episod baharu audio siar Keluar Sekejap.
“Presiden dengar bunyi siren dan sebagainya saya takut dia lagi tersentuh, terasa hati… jadi saya masuk tingkat tiga ke parkir dan terus naik atas. Jadi polis tak boleh buka siren, saya sengaja buat macam tu sebab nak jaga hati presiden saya.”
Rancangan itu dihoskan bekas menteri dari Umno Khairy Jamaluddin dan juga bekas ketua penerangan Umno Shahril Hamdan.
Ismail turut menafikan wujud ketegangan antara beliau dan Zahid ketika pentadbirannya, sebaliknya mengakui lebih kerap berjumpa presiden parti di luar Perdana Putra, pejabat rasminya di Putrajaya.
“Masa saya dah jadi PM… saya boleh saja kata, ‘Tok jumpa saya dekat ofis’ tetapi saya tak buat begitu. Saya yang pergi ke Yayasan Akal Budi di Country Heights, Kajang.
“Masuk saja kawasan situ, tutup semua lampu dan siren polis… polis (pengiring) ramai-ramai duduk jauh sedikit dan hanya satu kereta saya saja masuk dalam tu.. (ini semua) sebab nak jaga hati presiden,” katanya.
Imbau detik dilantik PM ke-9

Mengulas pelantikannya sebagai perdana menteri kesembilan, Ismail mengakui ia berlaku tanpa dirancang dan beliau juga ‘tiada perancangan mengetuai Putrajaya’.
Bagaimanapun, beliau bernasib baik apabila laluan ‘dinaikkan pangkat’ dipermudahkan selepas dilantik timbalan perdana menteri oleh Muhyiddin Yassin yang diangkat perdana menteri selepas Langkah Sheraton.
Langkah Sheraton merujuk kepada satu gerakan politik yang berlaku pada Februari 2020, apabila sekumpulan Ahli Parlimen PKR bersama Bersatu, Barisan Nasional (BN) dan PAS bergabung menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa selama 22 bulan.
“Betul, ia berlaku tak dirancang, tak diduga. Bila kita (Umno) dah tarik sokongan terhadap Muhyiddin, siapa seterusnya (jadi PM)? Saya bernasib baik sebab saya jadi TPM masa tu… 42 hari saya jadi TPM, tiba-tiba ada kekosongan jawatan perdana menteri.
“Dari segi hierarki betullah saya dilantik sebab saya dah jadi TPM masa tu… bagi saya dia lantik saya kerana dia tak ada pilihan sebab saya TPM.
“Macam Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi) dulu, bila Tun M (Dr Mahathir Mohamad) berhenti (jadi perdana menteri), serah jawatan pada Pak Lah sebab waktu tu dia jadi TPM,” katanya.