
“Kita mesti betulkan keutamaan kita,” katanya di Facebook. Beliau pernah menjadi menteri perdagangan antarabangsa dan industri antara 1987 dan 2008.
Rafidah berkata terlalu banyak contoh ‘kekecohan tak perlu’ yang ditimbulkan dalam kalangan pemimpin.
“(Hal remeh-temeh seperti) murid perlu lapor kepada guru seberapa kerap ibu bapa mereka solat, pakaian seragam pramugari, peserta pertandingan renang, pemakaian di hospital, malah keturunan individu tertentu (dipertikaikan).
“Namun, penyelewengan yang ketara dan pelbagai bentuk rasuah langsung tidak dipandang,” katanya.
Beliau menyeru rakyat agar tidak lagi bertolak ansur dengan wacana tidak bermakna itu, bagi mengelakkan ‘perbahasan hal remeh-temeh’ menjadi sebahagian daripada ‘peraturan yang dibuat oleh mereka dan terpakai bagi kita semua’.
“Negara lain maju dengan pesat, meninggalkan Malaysia di belakang,” katanya, mengambil contoh kemajuan teknologi serta kualiti pendidikan dan pembangunan ilmu.
“Walaupun kita hanya petik angka, negara lain memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan pembangunan sebenar yang boleh memacu perkembangan sosioekonomi secara berkesan dan meningkatkan daya saing mereka pada peringkat global.”
Rafidah berkata demikian susulan Exco Belia dan Sukan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim menuntut penjelasan insiden penerjun wanita Islam dihantar menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2024, walaupun ia tidak dibenarkan oleh kerajaan negeri.
Susulan itu, Persatuan Renang Amatur Terengganu memohon maaf pada Isnin kerana menghantar dua gadis Islam mewakili negeri dalam sukan itu tanpa kelulusan kerajaan negeri.
Awal bulan ini, The Sun Daily melaporkan kebimbangan warganet selepas seorang murid didakwa terpaksa menjawab soal selidik tentang kekerapan bapanya menunaikan solat.
Rafidah, yang sebahagian besar kerjayanya bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad, juga dipercayai merujuk kepada kes mahkamah yang mana bekas perdana menteri itu menyaman Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berhubung kenyataan mengenai keturunan keluarganya.