DBKL, IWK diminta periksa paip kumbahan di lokasi tanah mendap

DBKL, IWK diminta periksa paip kumbahan di lokasi tanah mendap

Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif berkata kawasan itu juga ditutup menggunakan tali keselamatan dan penghadang air.

Tanah mendap Jalan Masjid India
Lokasi kejadian tanah mendap yang berlaku berdekatan Pondok Polis di Jalan Masjid India pagi tadi.
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Indah Water Konsortium (IWK) diminta untuk memeriksa paip kumbahan di lokasi kejadian tanah mendap yang berlaku berdekatan Pondok Polis di Jalan Masjid India pagi tadi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif berkata sebagai langkah keselamatan, kawasan tanah mendap yang berlaku kira-kira 2.30 pagi tadi itu ditutup menggunakan tali keselamatan dan penghadang air.

“Kami akan terus bekerjasama erat dengan IWK serta agensi lain bagi memastikan tindakan susulan yang berterusan dan menyeluruh dilaksanakan untuk mencegah kejadian serupa daripada berlaku pada masa hadapan.

“Keselamatan dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur ialah keutamaan kami. DBKL akan terus memantau keadaan ini dan mengambil langkah-langkah sewajarnya untuk memastikan keselamatan awam,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Bernama melaporkan kejadian tanah mendap itu berlaku kira-kira 50m dari lokasi insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Ketua Polis Dang Wangi Suliezmy Affendy Sulaiman berkata perbincangan sedang dilakukan untuk memperluas penutupan jalan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

Kejadian tanah mendap itu dipercayai berlaku awal pagi selepas hujan lebat dan ribut pada malam tadi.

Kejadian tanah jerlus pada Jumaat lepas menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8m dengan operasi mencari dan menyelamat memasuki hari keenam hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.