Ulang ‘usul undi percaya’ PM hanya bazir masa, kata penganalisis

Ulang ‘usul undi percaya’ PM hanya bazir masa, kata penganalisis

Awang Azman Pawi berkata pertikaian kedudukan Anwar Ibrahim telah selesai apabila usul undi percaya diluluskan pada sidang Dewan Rakyat, 19 Dis 2022.

dewan-rakyat
Ahad lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mencadangkan tiga cara untuk menguji keabsahan Anwar Ibrahim, kesemuanya menerusi persidangan Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis menyifatkan cadangan seorang Ahli Parlimen PKR supaya isu keabsahan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dimuktamadkan sekali lagi menerusi usul undi percaya di Parlimen, hanya membazir masa.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata pertikaian keabsahan kedudukan Anwar pasca PRU15 sebenarnya telah selesai dan tidak sepatutnya berbangkit apabila usul itu diluluskan pada sidang Dewan Rakyat, 19 Dis 2022.

Menurutnya, malah Anwar yang juga menteri kewangan ‘lulus ujian’ apabila Belanjawan 2024 dibentangkannya disokong majoriti ahli Dewan Rakyat.

Awang Azman Pawi.

“Selain membazir sumber, ia hanya berpotensi mencetuskan ketidakstabilan politik jika dijalankan secara berterusan.

“Kerajaan telah bertindak mengikut Perlembagaan bagi memastikan kestabilan politik dan keabsahan kerajaan,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim mencadangkan tiga cara membuktikan keabsahan kerajaan dan Anwar sebagai perdana menteri susulan termasuk mengemukakan semula usul undi percaya.

Selain itu, pembangkang mengemukakan usul tidak percaya pada sidang Parlimen atau pengundian meluluskan Belanjawan 2025, kedua-duanya pada Oktober depan.

Isu itu kembali berbangkit susulan ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin pada PRK Nenggiri didakwa mempersoalkan kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Ini kerana beliau tidak dipanggil mengangkat sumpah sebagai perdana menteri walaupun mempunyai 115 akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen pasca PRU15.

Azmi Hassan.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan pula berkata ‘tidak begitu penting’ untuk membuktikan keabsahan kerajaan dipimpin Anwar pada ketika ini hanya kerana isu SD dibangkit Muhyiddin demi mempertahankan ucapannya di Nenggiri.

“Isu ini sebenarnya tak timbul lagi kerana keabsahan itu telahpun dibuktikan dengan sokongan 140 lebih Ahli Parlimen.

“Keabsahan ini memang patut melalui undang-undang tapi pada ketika ini tak begitu penting sangat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.