
Tertuduh berusia 17 tahun itu hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, menurut Sinar Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Nuraina Humaira Rosli, 10, di kawasan berpaya Kampung Bersah, Pos Kuala Mu dekat Lasah antara 2.30 petang hingga 5 petang pada 16 Ogos lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya RS Vitthiyeswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 28 Oktober depan bagi sebutan semula kes untuk menunggu laporan kimia, patalogi, laporan prestasi pelajar dan asid deoksiribonukleik (DNA).
Sebelum ini media melaporkan seorang remaja lelaki menahan reman seorang remaja lelaki yang juga saudara terdekat mangsa pada 19 Ogos lalu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Siasatan polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak berkenaan dirogol dan dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya diletakkan di kawasan mangsa ditemui.
Perkara itu hasil laporan bedah siasat yang menemui kesan koyakan pada kemaluan dan kecederaan akibat tekanan pada bahagian leher mangsa.
Mayat murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Kuala Mu itu ditemukan dalam keadaan terbaring di kawasan berpaya di kampung berkenaan sekitar 4.20 petang hasil operasi mencari yang digerakkan selepas mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 16 Ogos lalu.