
Menurutnya, program pemberian tunai sedia ada dipecah-pecahkan dan diurus oleh pelbagai agensi, membawa kepada ketidakcekapan seperti duplikasi manfaat dan pertindihan.
Memetik pelbagai data, OECD berkata Sumbangan Tunai Rahmah (dahulu Bantuan Sara Hidup, Bantuan Prihatin Rakyat, dan BR1M) contoh program kerajaan yang gagal dari segi kecukupan manfaat dan penyasaran.
Jelasnya, tahap manfaat sebahagian besarnya ditentukan oleh pendapatan isi rumah dan tidak mengambil kira sepenuhnya saiz isi rumah, menyimpang daripada amalan biasa di negara lain.
Sebaliknya, tahap manfaat boleh ditumpukan semula sepenuhnya pada pendapatan isi rumah per kapita, menurut tinjauan terbaharu ekonomi Malaysia oleh OECD, yang diterbitkan hari ini.
Walaupun objektif rasmi program ini untuk membantu kumpulan berpendapatan 40% terendah, segmen ini hanya menerima 12% daripada jumlah peruntukan pada 2019.
Untuk menambah baik penyasaran dan mengurangkan pemecahan, OECD berkata menggabungkan daftar-daftar sosial sedia ada menjadi pangkalan data tunggal yang tuntas seperti Padu boleh memberi manfaat.
Katanya, membangunkan suatu daftar tunggal untuk penyampaian bantuan sosial seperti Padu berpotensi menjadi cara menambah baik penyasaran, katanya.
OECD juga mencadangkan pengenalan bantuan tunai bersyarat yang mengaitkan bantuan mengatasi kemiskinan dengan pelaburan dalam modan insan, seperti kehadiran ke sekolah atau penjagaan kesihatan, untuk meningkatkan hasil jangka panjang.
Malaysia boleh pertimbang untuk memperkenalkan syarat-syarat sedemikian, serta menghubungi penerima Sumbangan Tunai Rahmah untuk menawarkan latihan atau khidmat kaunseling pekerjaan, katanya.
Sementara itu, OECD berkata perlindungan pencen perlu diperluaskan untuk membantu warga emas dan persediaan menghadapi penuaan penduduk.
Menurutnya, perlindungan pencen pada masa ini terhad, dengan hanya kira-kira 1/3 daripada penduduk dalam lingkungan umur bekerja dilindungi oleh skim mandatori, jauh lebih rendah berbanding negara lain.
OECD berkata pesara dijangka menghadapi simpanan pencen yang tidak mencukupi, dengan ramai pencarum KWSP diunjurkan menerima jumlah faedah persaraan di bawah paras kemiskinan.
Oleh itu, OECD mengesyorkan pengeluaran awal dihadkan, meningkatkan umur pengeluaran, dan pertimbang peralihan penjawat awam ke KWSP untuk meningkatkan kemampanan dan perlindungan pencen.