
Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan (PAGE) berkata cadangan timbalan perdana menteri itu adalah idea buruk yang berisiko memecahbelahkan lagi sistem pendidikan.
Pengerusi PAGE, Noor Azimah Rahim, berkata fokus utama Kementerian Pendidikan seharusnya adalah untuk meningkatkan taraf dan tahap pendidikan di sekolah kebangsaan supaya ia menjadi pilihan ibu bapa.

“Sebaliknya pada masa ini, pilihan pertama ibu bapa ialah sekolah antarabangsa, sekolah swasta atau sekolah Cina, bergantung kepada pendapatan isi rumah mereka. Ini adalah petunjuk bahawa semuanya tidak baik dengan sistem pendidikan dan perubahan ketara perlu dibuat.
“Penekanan harus diberikan untuk menjadikan sekolah kebangsaan kembali hebat dan bukannya memecah-belahkan lagi apa yang sedia ada. Semakin berpecah-belah sistem, semakin sukar untuk menyatukan golongan muda,” katanya kepada FMT.
Pengerusi Kumpulan Tindakan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Melaka (Magpie) Mak Chee Kin turut bersetuju dengan berkata ahli politik seperti Zahid harus membantu mencari jalan untuk menambah baik sekolah kebangsaan dan bukannya mengemukakan idea yang akan menyaksikan lebih ramai pelajar keluar daripada sistem pendidikan utama negara.
Beliau berkata cadangan Zahid adalah satu lagi kes ahli politik mencari survival politik mereka sendiri dengan mempertaruhkan sistem pendidikan dan bukannya untuk menyediakan apa yang terbaik untuk kanak-kanak dan Malaysia.

“Sudah ramai ibu bapa daripada semua etnik yang mempunyai kemampuan kewangan memilih sekolah swasta dan antarabangsa (untuk anak-anak mereka). Di sini, timbalan perdana menteri negara kita sedang mencurah minyak,” keluhnya.
Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu lalu, Zahid mencadangkan Mara membuka sekolah rendah bagi memperlengkapkan ekosistem pendidikannya.
Ia sudah mempunyai Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), politeknik dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dalam ucapannya, beliau berkata ia akan memastikan agenda pembangunan generasi akan datang diperkukuh oleh sukatan pelajaran pembangunan modal insan yang mantap.
Mara terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, yang diketuai Zahid.
Azimah berkata Zahid sebaliknya perlu menumpukan usaha mempertingkatkan pengajaran sains di MRSM, memandangkan penekanan subjek itu sudah pun bertapak di sekolah-sekolah tersebut.
“MRSM, dengan nama mereka sahaja, dijangka melahirkan saintis, ahli teknologi, jurutera, ahli matematik dan pakar dalam disiplin berkaitan sains untuk persediaan ke arah negara maju,” katanya.
Selain itu katanya, pembangunan modal insan yang mantap harus bermula pada peringkat asas, sambil menambah bahawa semua guru dari prasekolah dan seterusnya mesti dilatih secukupnya untuk tujuan itu.
Tidak kira betapa sukarnya sesuatu sukatan pelajaran, guru mesti berada dalam kedudukan untuk membimbing, membantu dan menyokong pelajar untuk mencapai potensi mereka, katanya.
“Tindakan segera yang perlu diambil sekarang ialah mengembalikan program dwibahasa (DLP) kepada semua MRSM.”
Mak pula mempersoalkan mengapa perlunya sekolah rendah di bawah Mara untuk pembangunan modal insan. Katanya, sukatan pelajaran sebegitu wajar diajar di semua sekolah kebangsaan.