Tuntut caj air mentah melalui mahkamah, P Pinang beritahu Kedah

Tuntut caj air mentah melalui mahkamah, P Pinang beritahu Kedah

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, sebarang tuntutan caj air mentah yang diambil Pulau Pinang melalui Sungai Muda perlu melalui proses mahkamah.

sungai muda
Kedah telah mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang mengenakan caj sebanyak RM50 juta setahun bagi bekalan air mentah yang diambil dari Sungai Muda, yang berpunca dari Kedah. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang menggesa kerajaan Kedah menuntut bayaran caj air mentah Sungai Muda yang diambil negeri itu menerusi mahkamah, bukan di media atau secara terbuka.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, beliau sendiri berulang kali menjelaskan pendirian Pulau Pinang berhubung isu itu dengan kerajaan Kedah sepatutnya memulakan tuntutan di mahkamah.

“Kerajaan Pulau Pinang sekali lagi menegaskan, sebarang tuntutan caj air mentah yang diambil Pulau Pinang melalui Sungai Muda perlu melalui proses mahkamah namun sehingga kini perkara itu tidak dilakukan oleh Kedah, sebaliknya tuntutan hanya dibuat menerusi percakapan semata-mata.

”Saya tidak pernah terima surat tuntutan mahkamah oleh kerajaan Kedah. Sepatutnya Kedah memulakan tuntutan melalui mahkamah supaya mahkamah dapat putuskan tuntutan ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran One Click Hub di Komtar hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar bahawa kerajaan Kedah akan terus menuntut bayaran caj air mentah dari Pulau Pinang yang ketika ini memperoleh 84% sumber airnya dari Sungai Muda.

Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar negeri Mohamad Yusoff@Munir Zakaria dilaporkan berkata, Pulau Pinang masih gagal membuat bayaran kepada Kedah walaupun tuntutan telah dibuat sejak 2010.

Kedah sebelum ini mengemukakan tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah.

Bagaimanapun, Chow sebelum ini dilaporkan berkata, penggunaan air oleh Pulau Pinang dari sungai khususnya di kawasan sempadan negeri itu adalah sejajar hak dan undang-undang antarabangsa.

Berikutan itu, Menteri Besar Kedah Sanusi Nor mengumumkan, kerajaan negerinya telah melantik panel peguam untuk menguruskan tuntutan caj air mentah tersebut.

Mengulas lanjut, Chow berkata, memang jelas dari segi undang-undang Pulau Pinang mengambil air Sungai Muda dari sempadan negeri itu.

“Perkara ini dikawal oleh undang-undang, siapa yang tidak puas hati boleh ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan terbaru caj air mentah dari Kedah itu boleh dianggap sebagai permainan politik oleh pemimpin negeri berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.