
Didorong oleh inisiatif kerajaan dan peningkatan jumlah usahawan muda yang celik teknologi, Malaysia menjadi hab untuk syarikat-syarikat pemula.
Inisiatif seperti Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) mewujudkan persekitaran kondusif untuk syarikat pemula, dengan menyediakan latihan, pembiayaan dan peluang kerjasama antarabangsa. Justeru, meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam inovasi global.
Penglibatan sektor swasta juga meningkat, dengan wujudnya firma modal teroka, angel investors dan pemecut korporat yang menawarkan pembiayaan serta bimbingan penting. Usaha ini membolehkan syarikat pemula berkembang pesat dan mampu bersaing di peringkat global, sekali gus memberi inspirasi kepada usahawan baharu dan membangunkan ekosistem syarikat pemula.
Ekosistem keusahawanan di Taylor’s University
Ekosistem yang kukuh adalah penting dalam menyokong pertumbuhan usahawan, kerana ia menyediakan infrastruktur dan sumber diperlukan oleh syarikat pemula untuk berkembang maju.
Oleh itu, Taylor’s University menetapkan untuk menyediakan ekosistem keusahawanan yang teguh, direka khas bagi memupuk dan merealisasikan idea perniagaan pelajar.
Diperkenalkan oleh Taylor’s Business School pada 2020, program Sarjana Muda Keusahawanan (Kepujian) dalam Keusahawanan Berpasukan mengambil inspirasi daripada model Finnish Team Academy untuk menyediakan pengalaman pembelajaran unik yang memupuk minda dan kemahiran keusahawanan.
Program tiga tahun itu adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan ia menyediakan ekosistem yang menyokong pelajar merealisasikan idea perniagaan mereka sebelum tamat pengajian. Hal ini membantu mereka mengambil langkah pertama menuju ke arah sektor pekerjaan sendiri.
“Program ijazah Keusahawanan Berpasukan diperkenalkan untuk melengkapkan pelajar dengan kemahiran kolaboratif dan pengalaman praktikal diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia perniagaan yang dinamik hari ini.
“Kami mahu memberikan pengalaman pembelajaran holistik yang membantu graduan untuk bersedia menghadapi sebarang cabaran yang mungkin dihadapi semasa proses permulaan dan perkembangan perniagaan di pasaran global,” kata Pengarah Program Keusahawanan Berpasukan, Dr Zalena Mohd.
Program ijazah Keusahawanan Berpasukan memberi tumpuan kepada tiga bidang teras iaitu perusahaan, pasukan dan individu. Ijazah ini membantu membangunkan idea syarikat pemula pelajar, melalui pendekatan berorientasikan tindakan (action-driven) yang dibimbing oleh mentor usahawan daripada pelbagai latar belakang. Selain itu, Taylor’s University juga menyediakan sokongan pembelajaran melalui Bizpod, inkubator syarikat pemula di universiti tersebut yang diketuai pensyarah dan usahawan berpengalaman.
Program ini juga bekerjasama dengan pembimbing perniagaan daripada industri logistik, e-dagang, makanan dan minuman, fesyen, perusahaan sosial dan perundingan, di mana mereka berkongsi pengalaman perusahaan secara mendalam tentang keperluan, isu semasa serta usaha untuk mengatasi cabaran dihadapi kepada pelajar.
Salah satu kelebihan program ijazah Keusahawanan Berpasukan ialah akses kepada pembiayaan permulaan dan pemodal teroka, yang memudahkan proses pencarian sumber kewangan untuk menghidupkan idea perniagaan pelajar.
Melalui kerjasama bersama BizPod, pelajar juga diberikan modal permulaan untuk mengusahakan perniagaan mereka. Setakat ini, usaha berpasukan daripada dua kumpulan pelajar pertama program ini telah dianugerahkan pembiayaan awal berjumlah lebih RM60,000.
BizPod juga dilengkapi ruang kerja bersama yang mudah diakses oleh pelajar program ijazah Keusahawanan Berpasukan. Persekitaran ruang ini direka khas untuk menyokong usaha pelajar dalam membangunkan konsep perniagaan mereka sepanjang tempoh pembelajaran.
Inkubator ini juga menyediakan program latihan keusahawanan berstruktur empat peringkat. Ini akan membantu usahawan muda sepanjang perjalanan keusahawanan mereka, sehingga dua tahun selepas tamat pengajian.

Kecemerlangan berterusan
Selain memupuk ekosistem keusahawanan di kampus, Taylor’s University juga memperoleh akreditasi perniagaan daripada Association to Advance Collegiate Schools of Business International (AACSB) melalui Taylor’s Business School.
Pengiktirafan berprestij ini yang diperoleh oleh hanya 6% sekolah perniagaan di seluruh dunia, memberikan peluang kepada pelajar Taylor’s University untuk berhubung dengan ahli organisasi daripada rangkaian global dan syarikat-syarikat yang sedang mencari individu berbakat.
Pencapaian akreditasi AACSB ini merangkumi penilaian mendalam, bimbingan dan kajian semula setara yang memfokuskan kepada penambahbaikan berterusan.Justeru, ia menekankan komitmen terhadap kecemerlangan dalam pengurusan strategik, inovasi, penyelidikan dan didikan di Taylor’s University.
Untuk maklumat lanjut mengenai program Sarjana Muda Keusahawanan (Kepujian) dalam Keusahawanan Berpasukan, klik di sini.