Mangsa tanah jerlus belum ditemui, SAR lakukan 2 kali ‘flushing’

Mangsa tanah jerlus belum ditemui, SAR lakukan 2 kali ‘flushing’

Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkata proses itu dilakukan sehingga 2 pagi tadi untuk mengesan wanita terbabit.

Pencarian pasukan SAR terhadap mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India akan disambung pada pagi ini, kata DBKL.
PETALING JAYA:
Pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan teknik ‘flushing’ sehingga awal pagi tadi untuk mencari wanita warga India yang terjatuh akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan memaklumkan setakat ini mangsa masih belum dijumpai walaupun selepas dua kali teknik itu dilakukan sejak malam tadi.

“Malam tadi pihak Indah Water Konsortium (IWK) memulakan ‘flushing’ yang dilaksanakan di lurang kumbahan lima dan mengambil masa sehingga 2 pagi tadi.

“Pencarian oleh pasukan SAR akan disambung pada pagi ini,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Semalam, Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif, berkata teknik ‘flushing’ adalah bagi menyekat aliran air di lurang kumbahan dan setelah air melimpah, sekatan akan dilepas untuk menghasilkan arus aliran air yang deras.

Menurutnya, teknik itu akan dikoordinasikan oleh pihak IWK bermula di lurang kumbahan lima berhampiran bangunan Agrobank.

Jumaat lalu, wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.