Umno tak dabik dada, sasaran pulih disebut Johari realistik

Umno tak dabik dada, sasaran pulih disebut Johari realistik

Penganalisis berkata ia juga bererti pimpinan Umno sedar parti itu tidak boleh mendabik dada sebaliknya perlu melakukan perubahan menyeluruh.

PAU
Penganalisis berkata Umno perlu memperbaharui saf pimpinan dalam usaha memulihkan parti.
PETALING JAYA:
Penganalisis menyifatkan sasaran dua atau tiga PRU untuk Umno kembali dominan seperti disebut Naib Presiden Johari Abdul Ghani sebagai realistik.

Ia juga bererti pimpinan Umno sedar parti itu tidak boleh mendabik dada sekalipun sebagai komponen kerajaan ketika ini, sebaliknya perlu melakukan perubahan menyeluruh.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya menyambut baik adanya pemimpin berani mengakui Umno perlukan tempoh yang panjang untuk ‘pulih sepenuhnya’.

“Jika masih mendabik dada, ‘masih kuat’ dengan hanya sekadar berpaut kepada parti kerajaan perpaduan lain, maka Umno akan berdepan kesukaran dan laluan lebih getir dalam PRU16 akan datang,” katanya kepada FMT.

Dalam tempoh itu, Tawfik berpandangan Umno perlu memperbaharui saf pimpinan.

“Pemimpin lebih 60 tahun perlu berundur untuk bagi nafas baharu kepada Umno. Pemimpin lama kena beri laluan kepada muka baharu.

“Umno juga perlu ubah sistem pemilihan daripada perwakilan kepada pengundian langsung untuk memilih kepimpinan tinggi parti,” katanya.

Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara berkata, Umno sememangnya perlu tempoh yang realistik untuk memenangi semula hati masyarakat.

Beliau bagaimanapun berkata parti itu perlu menawan hati orang Melayu dan bukan Melayu.

“Tempoh berkenaan penting Umno merenung kenapa bekas parti dominan itu dilorongkan jalan keluar oleh pengundi dan perlu dilakukan pelbagai jenis ‘post-mortem’ untuk melihat kembali apakah titik perubahan yang mengakibatkan mereka kehilangan sokongan.

“Tempoh itu juga akan membuatkan parti itu lebih rendah diri dan bersikap terbuka untuk menerima segala jenis teguran,” katanya.

Katanya, tempoh sehingga tiga PRU merupakan jangka waktu yang sangat kritikal, kerana setiap gerak geri Umno diperhatikan rakyat.

“Oleh itu Umno perlu menukar dan memperbaharui naratif perjuangan dan mobilisasi mereka dan tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada agenda Melayu-Islam,” katanya.

Menurutnya, Umno harus menyasarkan dasar yang mesra dan inklusif, mengesyorkan ia melihat pengalaman Pakatan Harapan.

“Bagaimana mereka (PH) memperjuangkan isu kebajikan orang ramai dan tidak terlalu obses dengan politik yang memisahkan, berkisarkan Melayu semata-mata dan mengabaikan aspek lain yang lebih kritikal seperti ekonomi, sosial dan sebagainya,” katanya.

Semalam, Johari ketika sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2024 berkata tempoh perjalanan yang panjang itu perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kepimpinan dan akar umbi, termasuk meminta maaf kepada orang Melayu jika terdapat kesilapan lampau dilakukan semasa mentadbir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.