
Menurutnya, kedudukan terkini di Tahap 2 Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara Amerika Syarikat menunjukkan komitmen Malaysia dalam menangani isu pemerdagangan manusia dan buruh paksa kini diakui dunia.
Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia perlu meneruskan usaha mencari kaedah baharu membanteras buruh paksa.
“Tahun ini, Malaysia diletakkan dalam Tahap 2 atau ‘Tier’ 2 selepas berada di Tahap 2 Pemerhatian atau ‘Tier 2 Watch List’ pada 2023,” katanya menurut Harian Metro selepas Konvensyen Membanteras Eksploitasi Pekerja anjuran Jabatan Tenaga Kerja di Kuching
“Sehubungan itu, KDN dan Kementerian Sumber Manusia perlu melaksanakan tindakan berterusan untuk menangani isu buruh paksa, seterusnya meningkatkan keyakinan dunia terhadap Malaysia dalam membanteras isu itu.”
Fadillah berkata, dua kes pemerdagangan manusia dilaporkan di Semenanjung Malaysia sepanjang tujuh bulan tahun ini.
Sebanyak 12 kes dilaporkan tahun lalu, dengan 11 kes di Semenanjung dan satu lagi di Sarawak, berbanding 15 kes di Semenanjung dan satu lagi di Sabah pada 2022.
Amaran awal tanah jerlus
Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berharap ada teknologi terkini dapat memberi amaran awal risiko tanah jerlus.
Ini kerana, katanya, bahagian dasar Kuala Lumpur diliputi batu kapur dan hakisan air membentuk rongga bawah tanah sehingga menyebabkan kawasan permukaan lemah serta mudah runtuh.
“Oleh itu, kita harus ada sistem amaran awal seperti digunakan bagi mengesan gempa bumi. Langkah itu perlu dilaksanakan semua agensi, khususnya pihak berkuasa tempatan, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran.”