‘Kita bincang baik kerjasama’, Anwar ulas Umno mahu dominan

‘Kita bincang baik kerjasama’, Anwar ulas Umno mahu dominan

Anwar Ibrahim berkata hubungan PH dengan Umno dan BN sangat baik ketika ini.

bn ph
Pengerusi PH Anwar Ibrahim beri jaminan rundingan akan diadakan secara baik bersama BN dan parti komponen gabungan itu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional pada PRU16 masih terbuka walaupun pemimpin Umno mahu parti itu menjadi dominan.

Beliau memberi jaminan rundingan akan diadakan secara baik bersama BN dan parti komponen gabungan itu dalam mendepani landskap politik negara.

“Hubungan kita dengan Umno dan BN masih di tahap sangat baik. Kerjasama di peringkat ini sangat memuaskan.

“Justeru, untuk masa hadapan, kita masih membuka ruang untuk berbincang secara baik,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin sempena sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Anwar Ibrahim merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin sempena sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. (Gambar Bernama)

Jumaat lalu, Presiden Zahid Hamidi memberi amaran kepada ahli Umno mengetepikan perbezaan dalam usaha memperkuatkan parti supaya ia kembali dominan pada PRU16.

“Untuk jadi dominan semula, tak ada orang lain boleh bantu kita, kita mesti bantu diri dengan memperkuatkan parti kita sendiri,” katanya pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024.

Pandangan sama turut disuarakan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang tidak mahu parti Melayu itu selesa dengan situasi semasa dan sekadar menjadi pelengkap kepada kerajaan perpaduan hari ini.

Sebaliknya, Akmal berkata Umno perlu kembali menjadi dominan dalam landskap politik tanah air seperti di era kegemilangan sebagai parti Melayu terbesar negara.

Semalam, Naib Presiden Johari Abdul Ghani berkata Umno dan BN mungkin memerlukan dua atau tiga pilihan raya untuk kembali dominan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.