Umno perlu 2,3 PRU untuk kembali dominan, kata Johari

Umno perlu 2,3 PRU untuk kembali dominan, kata Johari

Naib Presiden Johari Abdul Ghani berkata Umno perlu memanfaatkan masa dengan memperkuat parti selain minta maaf kepada orang Melayu jika ada kesilapan dalam pentadbiran terdahulu.

Johari Abdul Ghani
Naib Presiden Johari Abdul Ghani berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Umno dan Barisan Nasional (BN) mungkin memerlukan dua atau tiga pilihan raya untuk kembali dominan, kata Naib Presiden Johari Abdul Ghani.

Berucap pada sesi penggulungan, Ahli Parlimen Titiwangsa berkata perjalanan yang panjang itu perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh kepimpinan dan akar umbi, termasuk meminta maaf kepada orang Melayu jika terdapat kesilapan lampau dilakukan pentadbiran BN.

“Ambil masa untuk pulangkan kuasa kepada Umno, mungkin dua atau tiga lagi pilihan raya (Umno mampu jadi dominan).

“Untuk jadi dominan, perlukan satu tanggungjawab besar, dan ia tidak boleh dibebankan pada bahu presiden (Zahid Hamidi) saja, tetapi 191 ketua bahagian, 22,274 cawangan termasuk semua pemimpin di atas pentas ini,” katanya pada Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Umur kita (Umno) dah 78 tahun, jangan terlalu leka dengan kejayaan dan sejarah kita. Kalau kita ada salah kepada orang Melayu minta maaf kepada mereka, kalau ada salah memerintah, kita minta maaf.”

Presiden Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya semalam berkata Umno berharap kembali menjadi dominan dan bebas memilih mana-mana gabungan sebagai rakan kongsi politik.

Katanya, dominan merujuk bilangan kerusi serta berada di hadapan dalam perundingan jika keadaan memerlukan perkongsian kuasa.

Pada PRU14, BN hanya menang 78 kerusi daripada 222 Parlimen, sekali gus menamatkan pemerintahannya di Putrajaya sejak negara mencapai kemerdekaan.

Prestasi BN merosot pada PRU15 apabila hanya menang 30 kerusi dengan 26 daripadanya disumbangkan Umno.

Namun, BN menjadi sebahagian komponen kerajaan perpaduan selepas bersetuju kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan parti lain.

Johari turut meminta pemimpin di bahagian mencari formula untuk menjadi pembangkang berwibawa di kerusi sudah ditawan pihak lawan.

Katanya, pemimpin Umno tidak perlu menjadi ‘wakil rakyat’ di kawasan itu bagi membolehkan rakyat menilai khidmat diberikan oleh ‘Yang Berhormat’, dipilih oleh pengundi.

“Mana-mana kawasan yang dulu totok Umno, dah kalah tiga kali apa kata bila pulang nanti kita jadi pembangkang dalam kawasan tersebut.

“Bukan jadi wakil rakyat dalam kawasan tersebut, kena belajar jadi pembangkang, yang lain fikir macam mana nak buat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.