
Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian selepas Akmal, yang juga Adun Merlimau, menegur gangguan liputan internet semasa diberi ruang berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2024.
“Beliau tanya siapa menteri komunikasi sekarang? Kalau ‘roamingnya’ sangkut-sangkut, dia minta cadangkan menteri baharu.
“Kalau ditakdirkan ada PRU, maka Ahli Parlimen Jasin perlu diganti dengan beliau,” katanya pada sesi penggulungan di hadapan lebih 2,000 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Parlimen Jasin, kubu kuat Umno sejak merdeka jatuh ke tangan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Ismail, dengan majoriti tipis 322 undi pada PRU15.
Kawasan itu pernah diwakili bekas timbalan perdana menteri Ghafar Baba dan bekas ketua menteri Abu Zahar Isnin.
Akmal di pentas penggulungan sebelum itu berkata: “‘Line’ tak clear, siapa menteri komunikasi ni? Presiden, saya rasa menteri komunikasi tukar orang Umno, senang,” katanya disambut tepukan gemuruh para perwakilan.
Menteri komunikasi kini disandang Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.