Pembebasan Najib mampu ‘tawan’ semula anak muda, menurut Akmal

Pembebasan Najib mampu ‘tawan’ semula anak muda, menurut Akmal

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menuntut penjelasan kerajaan sama ada titah adendum berkait hukuman Najib Razak benar-benar wujud.

najib razak
Najib Razak jalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan penjara dan denda atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah berhubung dana SRC International. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pembebasan Najib Razak mampu melonjak sokongan anak muda kepada Umno dan Barisan Nasional, kata Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh, yang mengakui ahli harap titah adendum berkait hukuman ke atas bekas perdana menteri itu benar-benar wujud.

Katanya, anak muda ketika ini sudah bijak menilai sama ada seseorang pemimpin benar-benar boleh berkhidmat atau sekadar ‘cakap kosong’.

“Semasa pemerintahan Najib banyak ruang dan peluang yang diberikan kepada orang muda.

“Sudah tentu bila Najib bebas, sedikit sebanyak akan beri kesan terhadap sokongan orang muda terhadap parti kita,” katanya kepada media selepas sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Itu hasrat ahli Umno (Najib bebas) dan itu juga hasrat Pemuda untuk lihat Najib diberi keadilan sewajarnya.”

Pada 3 Jul lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani penahanan di rumah.

Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian memendekkan hukuman penjara itu kepada enam tahun, selain denda juga dikurangkan separuh.

Terdahulu ketika menggulung perbahasan, Naib Presiden Wan Rosdy Wan Ismail menegaskan isu titah adendum bukan suatu sandiwara, lebih lagi beliau dan Presiden Zahid Hamidi mengeluarkan afidavit berhubung perkara itu.

“Pemuda ingin bertanya kepada kerajaan, adakah benar ada adendum. Jika wujud kenapa tak dilaksanakan? Jika tak wujud, takkan presiden dan naib presiden berbohong?” kata Akmal kepada pemberita.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.