Kepala air: 19 terperangkap di Risda Eco Park selamat

Kepala air: 19 terperangkap di Risda Eco Park selamat

Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak sedang tunggu sedia susulan jambatan ke pusat rekreasi itu runtuh.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata 10 orang dewasa dan sembilan kanak-kanak dilaporkan selamat dan stabil. (Gambar JBPM)
IPOH:
Seramai 19 individu terperangkap kejadian kepala air di Risda Eco Park, Ulu Slim dalam keadaan selamat, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya sedang tunggu sedia (standby) susulan jambatan untuk ke pusat rekreasi itu runtuh.

“Mangsa terperangkap melibatkan 10 dewasa dan sembilan kanak-kanak. Semuanya berada di khemah masing-masing dilaporkan selamat dan stabil, menurut sumber pengurus tempat rekreasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, air sungai belum surut dan pihaknya menunggu sehingga keadaan selamat untuk bergerak ke lokasi terletak kira-kira 800m dari jambatan berkenaan.

“Tiada akses lain untuk menyeberangi, seterusnya ke lokasi kejadian. Trend air menurun, namun arus masih deras.”

Terdahulu, sekurang-kurangnya 109 individu dilaporkan terperangkap akibat kejadian kepala air dan empangan pecah di Slim Village, Slim River semalam.

Ketua Polis Perak, Azizi Mat Aris dilaporkan berkata, maklumat diterima pada 6.45 petang semalam melibatkan Kampung Sungai Bil, Sir Zulkifli Campsite di Sungai Bil, Kampung Pasir Ulu Slim dan Risda Eco Park, Ulu Slim.

Menurutnya, insiden kepala air berlaku di Kampung Sungai Bill, disusuli tempat rawatan air di Empangan Kampung Pasir Ulu Slim pecah dekat Stesen Janakuasa Hidro Sungai Slim.

Kejadian itu turut mengakibatkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan, iaitu Jambatan Utama Slim Village, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong dekat Sungai Bil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.