Jambatan Bailey ganti jambatan runtuh, kata MB

Jambatan Bailey ganti jambatan runtuh, kata MB

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad berkata pembinaan jambatan sementara itu dijangka bermula hari ini dan siap dalam lima hari.

Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Hulu yang runtuh akibat kepala air petang semalam. (Gambar Bernama)
TANJUNG MALIM:
Sebuah jambatan Bailey akan dibina menggantikan sementara Jambatan Lama Sungai Slim (Slim Village) di Jalan Slim River-Behrang Hulu yang runtuh akibat pergerakan kepala air petang semalam.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berkata pembinaan jambatan itu dijangka bermula hari ini dan siap dalam lima hari.

“Jambatan ini di bawah selenggaraan JKR (Jabatan Kerja Raya), pembinaan jambatan Bailey buat sementara waktu dipertimbangkan bagi menghubungkan laluan terputus.

“Dua lagi jambatan yang turut runtuh merupakan jambatan jalan kampung, iaitu Jambatan Kampung Pasir dan Jambatan Kampug Sg Muda menghubungkan Kampung Piong,” katanya ketika meninjau Jambatan Lama Sungai Slim di sini, hari ini.

Beliau berkata struktur konkrit jambatan sepanjang 77m dan lebar 7.5m yang menghubungkan pekan Slim Village ke Bandar Slim River serta Bandar Behrang tidak dapat menahan tekanan daripada serpihan kayu hanyut bersama aliran air banjir.

Menurutnya, laluan itu ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terjamin.

Katanya, JKR akan melaksanakan pengurusan trafik seperti memasang sistem papan tanda, sekatan dan lain-lain peralatan sebagai amaran awal kawasan itu ditutup buat sementara.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang semalam, hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di Muallim dinaiki air dan kejadian kepala air mengakibatkan ratusan penduduk terperangkap.

Setakat pagi ini, 175 mangsa daripada 42 keluarga diselamatkan dan ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara, sementara 19 lagi mangsa di Risda Eco Park belum diselamatkan kerana jambatan berhampiran runtuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.