
Beliau menyeru semua ahli Umno memberikan keyakinan kepada saf kepimpinan parti untuk membebaskan Najib, yang kini genap dua tahun di dalam penjara.
“Selagi ada jalan, selagi ada ruang, selagi ada nyawa dan kudrat kami ikhtiar bagi mendapatkan keadilan untuk ‘Bossku’,” katanya semasa ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Dalam pada itu, Wan Rosdy menegaskan isu titah adendum bukan suatu sandiwara, lebih lagi beliau dan Presiden Zahid Hamidi mengeluarkan afidavit berhubung perkara itu.
“Masakan presiden selaku timbalan perdana menteri kepada kerajaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, dan saya menteri besar Pahang kepada Kerajaan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, hendak bermain sandiwara atau berdrama tentang perkara ini,” katanya.
Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian memendekkan hukuman penjara itu kepada enam tahun, selain denda juga dikurangkan separuh.
Pada 3 Jul lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani penahanan di rumah.