Belanjawan 2025: Mitra cadang RM300 juta untuk pembangunan masyarakat India

Belanjawan 2025: Mitra cadang RM300 juta untuk pembangunan masyarakat India

Mitra cadang kerajaan peruntuk RM300 juta melalui Belanjawan 2025, agar lebih banyak program boleh dilaksanakan.

Mitra berkata hampir separuh daripada RM100 juta yang disalurkan kerajaan tahun ini dibelanjakan untuk membantu 100,000 individu B40.
PUTRAJAYA:
Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) mencadangkan kerajaan memperuntukkan sejumlah RM300 juta bagi tujuan pembangunan masyarakat India melalui Belanjawan 2025.

Pengerusi P Prabakaran berkata walaupun kerajaan menyalurkan RM100 juta bagi tujuan itu kepada Mitra tahun ini, jumlah berkenaan tidak mencukupi memandangkan jawatankuasa itu perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM50 juta untuk menampung komitmen membantu 100,000 individu daripada golongan B40.

“Komitmen sahaja hampir separuh (daripada peruntukan RM100 juta). Dengan baki RM50 juta, tidak cukup untuk kita melakukan perubahan atau transformasi dan menaikkan ekuiti masyarakat India terutama golongan belia.

“Jika boleh diberikan peruntukan lebih besar maka lebih banyak program dan inisiatif yang boleh kita laksanakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Libat Urus Belanjawan 2025: Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India.

Mengulas mengenai libat urus itu, Prabakaran berkata majlis berkenaan diadakan bagi memberi peluang kepada kira-kira 100 pemimpin dan wakil masyarakat India untuk memberi pandangan mengenai perangkaan Belanjawan 2025.

Beliau berkata pelbagai perkara dibincangkan antaranya keperluan untuk memastikan Belanjawan 2025 dapat memantapkan pelaksanaan inisiatif oleh Mitra, menaik taraf sekolah bantuan kerjaaan, serta menyediakan lebih peluang perniagaan bagi manfaat masyarakat India.

“Mitra akan bekerjasama dengan setiap agensi kerajaan dalam usaha memastikan inisiatif yang sedia ada dapat disalurkan kepada masyarakat India yang memerlukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.