
Berucap mewakili Wanita pada perbahasan ucapan dasar presiden, Nurulhidayah berkata aura bekas perdana menteri dikenali ‘Bossku’ itu cukup dirasai setiap kali Perhimpunan Agung Umno (PAU) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur.
“Saya mendengar usul daripada perwakilan Wanita agar Bossku diberikan keadilan dengan sebaik-baiknya. Semoga ada sinar buat Bossku,” katanya sebak.
“Saya secara peribadi menyokong usul perwakilan Wanita agar kepimpinan tertinggi Umno dapat terus menegakkan keadilan buat Bossku tanpa gagal dan jangan pernah putus usaha serta daya buat seorang pemimpin yang pernah bersama-sama kita dalam susah dan senang,” katanya.
Najib mula menjalani hukuman di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengekalkan sabitan penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa, pengubahan wang haram, dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian memendekkan hukuman penjara itu kepada enam tahun, selain denda juga dikurangkan separuh.
Pada 3 Jul lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib memulakan semakan kehakiman terhadap kerajaan untuk memaksa penzahiran titah adendum dikatakan dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membolehkannya menjalani penahanan di rumah.
Nurulhidayah melahirkan rasa kecewa apabila masih ada pihak dari dalam dan luar cuba mencari kesalahan pimpinan parti terutama ayahnya selaku presiden parti.
“Beliau dihina, dimaki, dihamun, malah diberi panggilan dan gelaran yang tidak baik dengan niat untuk membunuh karektor seorang yang bergelar presiden Umno.
“Menyaksikan sendiri lelah, sakit dan segalanya yang ditanggung Zahid untuk menjadikan Umno kekal sebagai parti politik yang releven menjadikan ia penguat semangat, untuk kita semua sebagai pelapis di dalam Umno,” katanya.