70% penduduk Muallim terputus bekalan air

70% penduduk Muallim terputus bekalan air

Menteri besar Perak berkata muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting pecah menyebabkan kepala air merosakkan paip saluran utama di Jambatan Lama Sungai Slim.

Water-Taps
Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad berkata Lembaga Air Perak akan mengambil tindakan segera memulihkan bekalan air kepada penduduk terjejas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ribuan penduduk daerah Muallim terputus bekalan air disebabkan muka sauk pecah dan kejadian kepala air di Sungai Slim, Slim River sejak semalam.

Menteri Besar Perak, Saarani Mohamad, berkata gangguan bekalan air itu membabitkan 70% daripada 12,000 akaun pengguna di Muallim akibat muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Geliting di bahagian hulu Sungai Slim pecah menyebabkan kepala air merosakkan paip saluran utama di Jambatan Lama Sungai Slim yang runtuh.

Menurutnya, buat sementara waktu ini, Lembaga Air Perak (LAP) menghantar bekalan air kepada penduduk terjejas menggunakan lori tangki.

Disebabkan loji utama pecah, katanya, LAP akan menggunakan muka sauk LRA kedua di Sungai Slim yang berperanan sebagai loji simpanan untuk membekalkan air kepada penduduk, tetapi proses itu mengambil masa kerana membabitkan beberapa kerja baik pulih dan pemeriksaan untuk ia beroperasi sebaiknya.

“Loji utama sedia ada memang tidak boleh digunakan kerana sudah pecah, namun kita ada satu loji rawatan di Sungai Slim yang boleh diguna pakai.

“LAP akan mengambil tindakan segera untuk memulihkan bekalan kepada penduduk terbabit dan pada masa sama lihat semula apa yang patut kita lakukan kepada loji pecah itu,” katanya menurut Harian Metro selepas meninjau Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu yang runtuh.

Sementara itu, LAP dalam kenyataan di Facebook memaklumkan gangguan bekalan air berlaku di beberapa kawasan di Muallim, termasuk Proton City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus Sultan Azlan Shah), Kampung Kelawar dan Hospital Slim River bermula 10 malam tadi hingga kerja pembaikan selesai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.