
Beliau berkata, ini kerana parti komponen bertanding atas tiket BN sejak dulu lagi.
“Kita seharusnya masing-masing parti (dalam) BN perkukuhkan parti komponen sendiri. Kedua, perlu lihat BN sebagai keutamaan…penting kita untuk perkukuhkan.
“Jaga keluarga kita dulu. Sepatutnya BN ‘first’. Sebab kita bertanding atas tiket BN. Selama ini tidak pernah tidak (bertanding atas tiket BN),” katanya kepada media selepas ucapan dasar Presiden Zahid Hamidi di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024.
Sementara itu, Wee berkata isu kesetiaan MCA kepada BN tidak pernah timbul.
Katanya, MCA antara parti terawal menyertai BN dan masih setia dalam gabungan sehingga kini.
“Masalah kesetiaan ini tidak pernah bangkit sebab kita yang (antara) tubuhkan BN. Inilah semangat dalam BN sehingga sekarang,” katanya.
Sebelum ini, MCA didakwa ingin keluar BN yang diasaskan bersama Umno dan MIC sejak 51 tahun lalu.
Menerusi laporan sebuah portal berita yang memetik sumber pucuk pimpinan MCA, anggota akar umbi parti itu kini tidak lagi gembira dengan kedudukan mereka dalam BN.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon menafikan laporan itu.
Pada 7 Mei lalu, Wee berkata MCA tidak akan teragak-agak bergerak solo pada PRU16 jika Umno berdegil tetap bekerjasama dengan DAP.
Beliau menegaskan, banyak keputusan dibuat Zahid bersifat ‘unilateral’ atau sebelah pihak, termasuk pendirian mahu kerjasama BN dan Pakatan Harapan (PH) diteruskan pada PRU16.