Mahkamah benar isteri Daim dapat sementara pasport untuk ke China

Mahkamah benar isteri Daim dapat sementara pasport untuk ke China

Mahkamah Sesyen KL membenarkan pelepasan sementara pasport Na’imah Abdul Khalid bagi tempoh 28 Ogos hingga 9 Sept.

Mahkamah mengarahkan Na’imah Abdul Khalid menyerahkan kembali pasport kepada mahkamah dalam tempoh 48 jam selepas 9 Sept. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan isteri bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Na’imah Abdul Khalid, bagi mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara untuk ke China.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Na’imah memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport bermula 28 Ogos ini hingga 9 Sept.

Permohonan ini tidak dibantah oleh pihak pendakwaan, tambahnya.

“Mahkamah membenarkan permohonan ini dan pemohon (Na’imah) perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dalam masa 48 jam dari 9 Sept,” kata Azura ketika sebutan kes.

Terdahulu, Nizamuddin memberitahu mahkamah, anak guamnya perlu ke luar negara atas tujuan kerja.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mengesahkan perkara itu, namun memohon supaya Na’imah menyerahkan pasport kepada mahkamah dalam tempoh masa 48 jam selepas kembali ke Malaysia.

Sebelum ini, Na’imah diberi kebenaran mendapatkan sementara pasportnya untuk ke Switzerland, Singapura, London dan Venice.

Pada 23 Jan, Na’imah, 67, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan gagal mematuhi notis mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pada 29 Jan, Daim, 86, turut didakwa atas tuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.