
Ketua Polis Dang Wangi, Sulizme Affendy Sulaiman, berkata beberapa perbincangan sedang diadakan berhubung tahap keselamatan di kawasan membeli-belah popular itu.
“Setakat ni tiada penutupan kawasan, kerana kami rasa masih selamat lagi.
“Kami tengah berbincang, kalau kami dapati kawasan ini tidak selamat kita akan maklum,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian.
Sulizme berkata, pihaknya difahamkan mangsa sedang berjalan sebelum duduk di atas kerusi batu tempat di mana berlaku lubang benam.
Bagaimanapun, katanya kejadian itu masih perlu dipastikan menerusi rakaman kamera litar tertutup di kawasan sekitar.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita warga India tertimbus selepas terjatuh ke dalam lubang benam sedalam 8m di hadapan Masjid India.
Komander Operasi Bomba Kuala Lumpur, Mohd Riduan Akhyar, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 8.22 pagi dan terus menghantar jentera ke tempat kejadian.
Katanya, tindakan mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan oleh unit STORM dan Unit Pengesan (K9).