Jurutera IT dibuang kerja dapat pampasan lebih RM342,000

Jurutera IT dibuang kerja dapat pampasan lebih RM342,000

Menurut Mahkamah Perusahaan, majikan Tan Seng Kok tidak sepatutnya menolak permohonan cuti tanpa gajinya.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan menganugerahkan pampasan RM342,900 kepada Tan Seng Kok selepas memutuskan beliau dipecat secara salah oleh Sunshine Bread Sdn Bhd dua tahun lepas. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Seorang jurutera IT dianugerahkan RM342,900 kerana dipecat secara salah selepas Mahkamah Perusahaan memutuskan kegagalannya kembali bekerja seperti yang diarahkan selepas dijangkiti Covid-19 tidak melanggar kontrak.

Pengerusi mahkamah Eswary Maree berkata, Sunshine Bread Sdn Bhd bertindak dengan niat jahat terancang dan menyukarkan hidup Tan Seng Kok, sebelum menamatkan perkhidmatannya.

Pada 30 Jun 2021, Tan dimasukkan ke pusat kuarantin di Serdang sebagai pesakit Covid-19 Kategori 5. Beliau mengambil sejumlah 183 hari cuti rawatan di hospital, perubatan, tahunan dan cuti tanpa gaji yang ditetapkan berakhir pada 26 April 2022.

Pada 4 April, beliau menjalani pemeriksaan di sebuah klinik swasta di Kajang, Selangor, seperti yang diarahkan oleh majikannya, dan disahkan sebagai sihat untuk bekerja tanpa sekatan atau syarat.

Melalui surat bertarikh 22 April, syarikat itu mengarahkannya kembali bekerja pada 27 April; jika tidak, beliau akan dianggap meninggalkan pekerjaannya.

Pada 26 April, Tan menghantar e-mel kepada majikannya untuk mendapatkan tambahan 22 hari cuti tanpa gaji bagi fisioterapi dan pemulihan, setelah gagal mengakses sistem permohonan cuti dalam talian syarikat. Beliau menyatakan akan kembali bekerja pada 1 Jun.

Bagaimanapun, melalui surat bertarikh 28 April 2022, syarikat itu menamatkan perkhidmatannya selepas beliau gagal hadir bekerja pada hari sebelumnya. Syarikat itu mengeluarkan surat lain pada hari berikutnya menolak permohonan cutinya, menyatakan ia tidak munasabah dan tidak berasas.

Dalam keputusan anugerah setebal 27 muka surat yang dikeluarkan minggu lepas, Eswary berkata, surat penolakan cuti itu nyata sesuatu yang difikirkan kemudian kerana ia dikeluarkan selepas perkhidmatan Tan ditamatkan. Beliau juga mendapati syarikat itu merancang menamatkan perkhidmatan Eswary lebih awal.

Eswary berkata, Tan terpaksa memohon cuti tanpa gaji kerana syarikat itu menyatakan dalam surat kembali bekerja bahawa ia hanya akan menerima sijil perubatan yang dikeluarkan oleh hospital kerajaan.

“Tingkah laku ini jelas membuktikan fakta bahawa (pihak syarikat) memutuskan untuk menyukarkan kehidupan pihak yang menuntut,” kata Eswary.

Katanya, tindakan syarikat itu menghalang Tan daripada mengakses sistem permohonan cuti dalam talian menunjukkan niat jahat yang telah dirancang untuk menamatkan perkhidmatannya.

Eswary juga menyatakan, syarikat itu gagal memberi pilihan kepada Tan untuk bekerja dari rumah walaupun laporan perubatan daripada hospital swasta menyatakan beliau boleh kembali bekerja bawah skim kerja alternatif.

Beliau juga berkata, laporan yang mengesahkan Tan sihat untuk bekerja tidak muktamad.

Laporan itu menyatakan Tan masih mengalami kelesuan, kurang tenaga, sesak nafas serta gangguan kesihatan lain yang lambat-laun boleh pulih.

Mengambil kira kandungan laporan itu, Eswary berkata, syarikat itu tidak sepatutnya menolak permohonan Tan untuk cuti tanpa gaji.

Beliau juga berkata, syarikat itu terlalu terburu-buru menamatkan perkhidmatan Tan tanpa memberinya hak untuk didengari.

Seksyen 15(2) Akta Kerja 1955 menetapkan bahawa pekerja yang tidak hadir secara berterusan melebihi dua hari bekerja berturut-turut tanpa cuti awal dianggap melanggar kontrak perkhidmatan, namun menurut Eswary, syarikat itu gagal membuktikan Tan berbuat demikian.

“Tambahan, (Tan) telah memaklumkan kepada syarikat bahawa beliau memohon cuti tanpa gaji mulai 27 April hingga 31 Mei dan akan melapor diri pada 1 Jun disebabkan keadaan kesihatannya.”

Oleh itu, katanya, Tan berjaya menangkis anggapan bahawa beliau meninggalkan pekerjaannya.

Eswary juga berkata, syarikat itu sepatutnya menunjukkan rasa simpati dan belas kasihan serta lebih memahami terhadap keadaan Tan. Pihak syarikat sepatutnya berbincang dengan Tan mengenai permintaan cuti tanpa gajinya, mengambil kira keadaan kesihatannya, tambahnya.

Tan, yang gaji terakhirnya berjumlah RM12,700, dianugerahi 24 bulan gaji tertunggak dan tambahan tiga bulan gaji sebagai ganti pengembalian semula pekerjaannya.

Lim Kai Yet dan Lim Chun Weng mewakili Tan, manakala bekas majikannya diwakili oleh Adam Abdullah, Adlina Atikah Zainal Abidin dan Nur Khairunnisa Adriana Zainuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.