
Timbalan Ketua Umno Johor Ahmad Maslan menggesa barisan jentera parti terus fokus membuat persiapan rapi.
“Jangan leka atas kejayaan Nenggiri sebagaimana jangan leka atas kejayaan (Pakatan Harapan) di (PRK) Kuala Kubu Bharu. Di (PRK) Sungai Bakap (tewas) agaknya sebab terleka, kita yakin menang setelah menang di Kuala Kubu Bharu,” katanya.
“Apabila kalah di Sungai Bakap, kita buat kerja dua kali ganda di Nenggiri. Peringatan kepada jentera, kita menang di Kuala Kubu Bharu tapi kita kalah di Sungai Bakap. Kita jangan pula menang di Nenggiri tapi kalah di Mahkota. Jadi jentera kena terus buat persiapan rapi.”
Beliau yang juga timbalan pengarah pilihan raya PRK Mahkota berharap agar calon yang akan diketengahkan BN menepati ciri-ciri ‘winnable’ (boleh menang), ‘acceptable’ (diterima), ‘likeable’ (disenangi) seperti yang diutarakan oleh Presiden Umno Zahid Hamidi.
“Dan harapan kita (pemilihan calon) diputuskan tidak terlalu lambat. Apabila kita umum lebih awal, jadi calon itu boleh bergerak lebih awal.
“Itu satu lagi kaedah di Nenggiri yang boleh kita laksanakan (di Mahkota). Tak boleh (umum calon) dua hari sebelum penamaan calon,” katanya.
Mengulas mengenai peluang BN mempertahankan kemenangan di DUN Mahkota, Ahmad berkata, beliau mengharapkan parti itu akan berjaya menggandakan majoriti sebelum ini kepada 10,000.
Namun, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah majoriti menjadi lebih memandangkan BN kini bekerjasama dengan jentera PH.
“Saya secara peribadi mengharapkan majoriti 10,000, tetapi kami di Johor, ingin menang seberapa yang sepatutnya boleh menang. Bukan menang tipis, kita nak menang besar,” katanya.
“Kami di Johor berharap agar menang yang munasabah apabila kita bersama dengan PH. Bererti kemenangan itu boleh melebihi kemenangan dulu dari segi teorinya, kerana sebelum ini kami dapat 16,000 undi dan PH dapat 11,000. Maka tentu (mengharapkan jumlah undi) akan lebih daripada yang dulu.”
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Mahkota pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos.