Jalan rosak boleh membunuh

Jalan rosak boleh membunuh

Pengguna jalan raya kini boleh menjadi mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan kerosakan jalan dengan hanya menggunakan telefon pintar.

Main pic
Air hujan bertakung akibat jalan berlubang merisikokan pengguna jalan raya.
PETALING JAYA:
“Paling takut jalan rosak dan berlubang, lagi-lagi jalan (khas) motor (motosikal). Nama sahaja jalan motor, tapi banyak lubang,” kata penghantar, Abdul Syafiq, mengenai kesan jalan rosak terhadap pengguna jalan raya sepertinya.

Katanya, pengguna jalan raya berdepan risiko kemalangan yang boleh meragut nyawa setiap kali menggunakan jalan raya rosak terutama penunggang motosikal.

“Bahaya bagi penunggang motosikal. Motor (ada) tayar dua (sahaja) kan? Salah sikit memang kemalanganlah kami. Tinggi risikonya,” katanya kepada FMT.

Jalan rosak bukan isu baharu dan kerap dibangkitkan pengguna jalan raya kerana boleh mendatangkan ketidakselesaan, kerosakan harta-benda dan paling buruk menyebabkan kemalangan jiwa.

Pengguna jalan raya kini boleh membuat aduan menggunakan aplikasi MyJalan. (Gambar Envato elements)

Kebanyakannya mempersoalkan mengapa jalan rosak tidak dibaiki dan diselenggara segera pihak berwajib.

Mohd Nahar Abdul Kassim.

“Saya agak kecewa sebenarnya sebab jalan rosak sangat bahaya untuk penunggang motor, malah pemandu kereta juga. Saya tidak tahu di mana nak buat aduan (jalan rosak), kepada siapa? Dan saya sendiri peniaga, tiada masa hendak pergi buat aduan,” kata Mohd Nahar Abdul Kassim, 29.

Carian FMT mendapati terdapat banyak jenis jalan antaranya jalan persekutuan, negeri dan bandaran. Jalan persekutuan dikendalikan Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala jalan negeri dan bandaran diuruskan pihak berkuasa negeri dan tempatan.

Mohd Farid Azim.

Juruaudit, Mohd Farid Azim, 26, memberitahu dia akan terus menyalahkan kerajaan sebelum ini, tanpa mengetahui jalan raya diselenggara pihak berlainan.

“Sebelum ini kalau jumpa jalan rosak, selalu kita salahkan kerajaan. Tapi sebenarnya tak semua jalan itu bawah KKR, kita tidak ambil tahu,” katanya.

Pada 23 Ogos, KKR melancarkan aplikasi MyJalan untuk memudahkan rakyat melaporkan apa jua kerosakan jalan raya, lampu jalan tidak berfungsi, cerun runtuh, banjir dan lain-lain hanya menggunakan telefon pintar, termasuk mengirimkan gambar serta lokasi.

MyJalan akan menerima semua aduan jalan rosak dengan prinsip ‘No Wrong Door’, yang kemudian akan disalurkan kepada pihak bertanggungjawab sama ada KKR, negeri atau bandaran, untuk tindakan susulan.

“Dengan inisiatif MyJalan, aduan akan sampai (kepada pihak berwajib) dan pada masa sama kita dapat selamatkan abang-abang motor dan (elakkan) kereta daripada rosak langgar jalan berlubang,” kata Farid.

Suri rumah, Fazilah Yusof, 40, yang sudah beberapa kali membuat aduan menggunakan MyJalan menyarankan pihak berwajib memantau pelaksanaan aplikasi itu.

“Mungkin daripada aduan kita boleh menyelamatkan satu nyawa. Ia boleh mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Pekerja stesen minyak, Mohd Hadri, 23, berkata MyJalan membolehkan rakyat menjadi mata dan telinga kerajaan tanpa perlu bersesak di kaunter untuk membuat aduan.

“Semuanya di hujung jari saja. Tak payah pergi pejabat KKR, hanya buat aduan dalam MyJalan. Ia memudahkan semua rakyat.”

Bermula Ogos 2023 hingga Julai lalu sebanyak 17,157 aduan dibuat pengguna jalan raya melalui MyJalan. Daripada jumlah itu 5,178 aduan melibatkan JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Selebihnya 11,979 aduan melibatkan jalan negeri, bandaran dan lain-lain.

Statistik sama juga menunjukkan 40.50% aduan melibatkan jalan berlubang, jalan rosak (17.79%), lampu jalan (16.18% ), lampu isyarat (10.33%) dan lain-lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.