Frasa ‘UmDAP’ hanya mahu provokasi, lemahkan semangat akar umbi

Frasa ‘UmDAP’ hanya mahu provokasi, lemahkan semangat akar umbi

Pemimpin Pemuda Umno di Perlis mendakwa kebanyakan ahli mula menerima dinamik kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan termasuk DAP.

UMNO
Umno menjadi sebahagian komponen kerajaan perpaduan antaranya bersama PH selepas tiada gabungan mempunyai majoriti membentuk pentadbiran Putrajaya.
KUALA LUMPUR:
Selepas hampir 20 bulan kerjasama ‘UmDAP’ iaitu frasa gabungan Umno dan DAP, ada di kalangan akar umbi parti Melayu itu mengakui keperluan menerima dinamik politik yang berlaku sejak pasca PRU15.

Beberapa perwakilan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 yang ditemui FMT, berkata kerjasama menerusi kerajaan perpaduan lebih kepada komitmen parti untuk terus berkhidmat kepada rakyat, mengukuhkan ekonomi dan membela Melayu.

Setiausaha Pemuda Umno Padang Besar, Mohamad Azhar Sudin, berkata label UmDAP dilontarkan lawan hanya provokasi melemahkan semangat akar umbi, sedangkan kerjasama turut membabitkan parti lain dalam kerajaan perpaduan, bukan hanya DAP.

“Saya tengok kebanyakan ahli dah boleh terima dinamika politik ini, awal perkenalan memang perlu masa panjang dan nasihat dari pimpinan.

“Bukan sahaja kami di Perlis memerlukan bantuan kerajaan perpaduan tetapi negeri lain, perlu bantuan jentera rakan komponen PH,” katanya.

Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) selain parti lain dalam kerajaan perpaduan terbentuk selepas PRU15 berlangsung pada November 2022 yang menyaksikan tiada gabungan mempunyai majoriti membentuk kerajaan di Putrajaya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dilantik perdana menteri selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen dan Zahid Hamidi sebagai salah seorang daripada timbalannya manakala enam lagi pemimpin Umno dilantik menteri.

Mereka adalah Mohamad Hasan (menteri luar), Johari Abdul Ghani (menteri perladangan dan komoditi), dan Mohamed Khaled Nordin (menteri pertahanan).

Azalina Othman Said (menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang Dan Reformasi Institusi)), Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (menteri pelaburan, perdagangan dan industri) dan Zambry Abd Kadir (menteri pendidikan tinggi).

Noraina Safura Mohamed.

Ketua Wanita Umno Batu Kawan Noraina Safura Mohamed pula berkata hampir 50% ahli Umno di kawasannya mula menerima kerjasama itu selepas hampir dua tahun dan memahami mengapa keputusan terbabit diambil.

“Bukan masuk DAP pun, cuma bergabung atas nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan, Umno diperlukan.

“Sekarang masih lagi turun padang beri kefahaman kepada akar umbi yang kita bukan gabung tetapi kerjasama untuk terus mantapkan ekonomi dan jaga kebajikan rakyat,” katanya.

Muhammad Mazrul Asyraf Mazli.

Namun, lain pula situasi di Langkawi yang menurut seorang AJK Pemuda Umno Bahagian Muhammad Mazrul Asyraf Mazli, kerjasama itu sukar diterima akar umbi dan sehingga hari ini masih membantahnya.

“Setakat ini masih sukar, pada PRN dahulu letak calon PH ramai yang keluar sertai lawan,” katanya yang berharap BN diberi laluan bertanding di Parlimen Langkawi pada PRU16.

“Depa (orang ramai) kata dacing (BN) boleh (menang) lagi…sebelum ini kita di Langkawi bertelagah sesama sendiri, jadi nak bangkit semula dalam masa pendek agak sukar,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.