DBKL lantik kontraktor kukuhkan cerun di Taman Bunga Raya

DBKL lantik kontraktor kukuhkan cerun di Taman Bunga Raya

Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif berkata penghuni yang terlibat dalam kejadian itu semalam ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Bunga Raya.

Media semalam melaporkan kejadian runtuhan sebahagian dinding penahan tanah di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang, berhampiran Kem Wardieburn. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik kontraktor bagi mengukuhkan cerun susulan kejadian runtuhan sebahagian dinding penahan tanah di Taman Bunga Raya, Jalan Genting Klang, berhampiran Kem Wardieburn di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif, berkata kerja-kerja meletakkan kanvas di kawasan runtuhan telah dilaksanakan dan pihaknya setakat ini tidak menerima laporan mengenai sebarang pergerakan tanah di kawasan itu.

“Sebanyak 13 kediaman terlibat dalam kejadian itu dan semua mangsa ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Bunga Raya.

“Daripada jumlah itu, sebuah rumah dilaporkan dalam keadaan serius manakala dua lagi dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya pada sidang media di sini malam ini selepas melawat lokasi wanita warga asing dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Maimunah berkata penduduk juga dinasihatkan untuk tidak pulang ke rumah sehingga penilaian Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mengesahkan kawasan itu selamat.

Media melaporkan JBPM Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan sebahagian dinding penahan di Taman Bunga Raya runtuh kira-kira 5.40 petang semalam sehingga menjejaskan sebuah rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.