Ahli perniagaan Malaysia diekstradisi ke China

Ahli perniagaan Malaysia diekstradisi ke China

Pengasas Kumpulan MBI Tedy Teow Wooi Huat yang ditahan di Thailand bakal berdepan siasatan berkait penipuan pelaburan dan skim piramid.

Pengasas Kumpulan MBI Tedy Teow Wooi Huat ditangkap polis Thailand pada 21 Julai 2022 selepas visanya dibatalkan. (Gambar Facebook)
BANGKOK:
Ahli perniagaan Malaysia Tedy Teow Wooi Huat, yang ditangkap oleh pihak berkuasa Thailand pada 2022, diekstradisi ke China untuk menghadapi pertuduhan berkaitan penipuan, menurut laporan portal berita Thailand.

Portal Thairath melaporkan bahawa pengasas Kumpulan MBI itu diekstradisi dari Penjara Tahanan Bangkok dengan menaiki pesawat ke China pada Selasa.

“Pada 20 Ogos, Teow diekstradisi ke China untuk menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram,” lapor portal itu pada Rabu.

Laporan itu menyatakan bahawa ahli perniagaan berusia 58 tahun itu diserahkan kepada kedutaan China di Thailand dengan kawalan keselamatan ketat oleh pihak berkuasa China dan Thailand.

Penerbangan asal untuk menghantar beliau diubah pada saat akhir, dengan suspek dihantar pulang menggunakan penerbangan lain di bawah kawalan keselamatan ketat oleh pihak berkuasa Thailand dan China.

“Teow dipindahkan ke pusat tahanan sementara di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, dengan pegawai dari kedua-dua pihak menguruskan proses ekstradisi selain pihak imigresen membantu dalam proses ekstradisi beliau seperti yang diperintahkan mahkamah,” menurut laporan itu.

Pada 21 Julai 2022, polis Thailand menangkap Teow selepas visanya dibatalkan. Teow dituduh mengatur skim piramid, menipu pelabur dan menjalankan urusniaga multi level marketing.

Polis China memohon penangkapan Teow dengan mengeluarkan notis merah melalui Interpol pada 9 Nov 2020 setelah dilaporkan Teow menipu sehingga dua juta orang, dengan ramai warga China menjadi mangsa skim penipuannya.

Di Malaysia, pihak berkuasa telah membekukan 91 akaun bank yang dikaitkan dengan MBI Group International, bernilai RM177 juta, dan Bank Negara, Bank Pusat Malaysia, telah menyenaraikan MBI sebagai syarikat yang menjalankan skim kewangan meragukan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.