Muhyiddin hanya ada 105 SD bukan 115, kata Zahid

Muhyiddin hanya ada 105 SD bukan 115, kata Zahid

Presiden Umno itu berkata ada 10 Ahli Parlimen menandatangani dua SD menyokong Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata Muhyiddin Yassin sebenarnya mendapat sokongan 105 Ahli Parlimen sahaja tidak cukup untuk beliau membentuk kerajaan.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata Muhyiddin Yassin sebenarnya tidak mempunyai sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen untuk menjadi perdana menteri walaupun beliau mendapat 115 akuan berkanun (SD) selepas PRU15.

Zahid berkata ini kerana ada 10 Ahli Parlimen menandatangani dua SD yang menyokong Barisan Nasional (BN) dan juga pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Katanya, atas faktor itu Muhyiddin sebenarnya tidak mempunyai sokongan cukup menubuhkan kerajaan.

“Saya saksi hidup. 115 SD dikatakan ada itu termasuk 10 SD daripada ahli-ahli Parlimen yang tandatangani dua SD. Dengan BN tandatangan dengan mereka (PN) juga tandatangan.

“Itu sebabnya jumlah sebenar hanya ada 105 SD sahaja. 105 SD tak cukup tubuh kerajaan,” katanya pada sidang media di Laman Media Pusat Dagangan Dunia (WTC).

Zahid mengulas dakwaan Muhyiddin sebelum ini bahawa beliau mempunyai 115 SD daripada Ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri selepas PRU15 pada 19 Nov 2022, yang menyaksikan Parlimen tergantung.

Semalam, Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen termasuk 115 SD berkenaan kepada polis selepas disoal siasat mengenai ucapannya semasa kempen PRK Nenggiri yang didakwa menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

Dalam satu kenyataan, Muhyiddin berkata 114 SD diserahkan kepada Istana Negara pada 21 Nov 2022, sebelum tarikh akhir jam 2 petang yang ditetapkan Istana, manakala satu akuan bersumpah tambahan dihantar pada hari berikutnya.

Dalam pada itu, Zahid berkata setiap calon BN menandatangani tiga dokumen untuk menjadi calon mereka.

Beliau berkata antaranya semua dokumen ditandatangani dirakam dengan video dan dibuat di depan pesuruhjaya sumpah serta tiga peguam.

“Antaranya jika mereka keluar atau menyokong pihak lain mereka mesti bayar penalti RM100 juta.

“Dua dokumen lain ditandatangani iaitu beri kuasa sepenuhnya kepada pengerusi BN untuk membentuk kerajaan, mewujudkan kerajaan campuran atau sebarang tindakan di kearah pembentukan kerajaan,” katanya.

Beliau menambah dokumen lain yang ditandingi calon BN adalah kerusi dimenangi itu kepunyaan parti bukan kepunyaan individu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.