Lantik anak bekerja, bekas pengurus besar didenda RM15,000

Lantik anak bekerja, bekas pengurus besar didenda RM15,000

Abu Bakar Jani, 64, dijatuhkan hukuman selepas mengaku bersalah terhadap kesalahan yang dilakukan pada 2018.

mahkamah
Bekas pengurus besar syarikat, Abu Bakar Jani, 64, didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini kerana penyalahgunaan kuasa dengan menggunakan jawatan memilih anak perempuannya sebagai penolong pegawai sumber manusia. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang bekas pengurus besar syarikat didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka hari ini kerana penyalahgunaan kuasa dengan menggunakan jawatan memilih anak perempuannya sebagai penolong pegawai sumber manusia di syarikatnya.

Tertuduh, Abu Bakar Jani, 64, dikenakan hukuman itu oleh Hakim Elesabet Paya Wan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009, menurut Sinar Harian.

Elesabet mengarahkan dia dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pilihan, dia didakwa membuat urusan berhubung suatu harta iaitu bayaran gaji keseluruhan berjumlah RM31,200 yang diterimaanaknya yang dilantik ke jawatan PSM di anak Syarikat Kerajaan Negeri Melaka, Syarikat Panorama Melaka Sdn Bhd.

Tindakan itu didakwa dilakukan di syarikat itu beralamat di Lot 19B &19C Zone B, Bangunan Terminal Melaka Sentral, Jalan Tun Abdul Razak pada 27 Disember 2018.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fatin Nur Athirah Zainudin mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

Azrol dalam hujahnya memohon hukuman denda dikurangkan kerana anak guamnya telah menyesali perbuatan tersebut, selain pengakuan tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Pihak pendakwaan meminta hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat bahawa kesalahan rasuah adalah serius.

Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.