Hakim tegur peguam Najib henti pertikai keputusan kes SRC International

Hakim tegur peguam Najib henti pertikai keputusan kes SRC International

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata keputusan hakim dalam kes itu adalah keputusan mahkamah undang-undang.

Najib Tun Razak
Najib Razak dibicarakan atas tuduhan salah guna kedudukan dan ubah wang haram berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB yang didepositkan dalam akaun AmBank miliknya antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hakim perbicaraan dalam kes 1MDB dihadapi bekas perdana menteri Najib Razak mengingatkan pasukan pembelaan bahawa keputusan yang dibuat hakim ialah keputusan dari mahkamah undang-undang.

Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata demikian selepas peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berhujah bahawa Hakim Mahkamah Tinggi pada masa itu Mohd Nazlan Mohd Ghazali bergantung pada prinsip undang-undang yang salah dalam memutuskan kes jenayah SRC International Sdn Bhd melibatkan Najib.

Sequerah berkata, “Berhenti mengatakan hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan terkhilaf atau tersalah. Ia keputusan mahkamah undang-undang dan anda seharusnya menggunakan perkataan ‘boleh dibezakan’ dan bukannya terkhilaf.

“Anda berhak mempunyai pandangan tetapi hal ini (keputusan kes SRC) ialah keputusan mahkamah undang-undang,” kata Sequerah apabila Wan Azwan membuat penghujahan pada akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 hingga 19 Dis 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, dan di bawah Seksyen 41(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Penghujahan bersambung pada 2 Sept ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.