Akmal nafi dakwaan Pemuda Umno ejen PN, setia kepada parti

Akmal nafi dakwaan Pemuda Umno ejen PN, setia kepada parti

Dr Akmal Saleh mengakui beliau banyak bertelagah dengan 'parti jiran' dalam kerajaan perpaduan sehingga dilabel sedemikian.

Dr Akmal Saleh berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
KUALA LUMPUR:
Dr Akmal Saleh menafikan dakwaan beliau dan Pemuda Umno diketuainya menjadi ejen Perikatan Nasional (PN) seperti didakwa segelintir pihak.

Akmal mengakui beliau banyak bertelagah dengan ‘parti jiran’ (dalam kerajaan perpaduan) sehingga label terbabit dilemparkan terhadapnya, namun perbezaan pendapat tidak mengubah kesetiaan kepada Umno.

“(Saya) banyak bertelagah dengan (parti) jiran sampai ada kata Dr Akmal ini ejen PN dan bawa suara PN.

“Pemuda Umno bukan ejen PN. Pemuda Umno terlalu sayang parti,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Beliau turut mengulangi pendirian yang mereka akan menentang sesiapa sahaja termasuk rakan dalam kerajaan perpaduan jika menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja).

“Tahun lepas saya dah pesan tahun ini saya ulang lagi, saya ulang pesanan serupa kami pemuda UMNO boleh kawan dengan sesiapa sahaja.

“Tetapi kalau sentuh agama, bangsa dan raja, kami akan bangkit lawan tentang kamu habis habisan,” katanya.

Akmal juga berharap pada masa depan Umno tidak hanya menjadi pelengkap tetapi mahu menjadi parti dominan dalam landskap politik negara.

Menurutnya, keadaan itu boleh dicapai dengan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU16.

“Kena tingkatkan daripada 26 kerusi Parlimen kepada majoriti dua pertiga. Ini baru ‘level’ Umno,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kesediaan Pemuda Umno bertanding di PRK DUN Mahkota sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi selepas kemenangan di Nenggiri.

“Pemuda Umno sedia sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi untuk DUN Mahkota.

“Nenggiri sudah berjaya. Jika diberi tanggungjawab sekali lagi Pemuda sedia galas di DUN Mahkota,” katanya.

Sabtu lalu, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang PRK Nenggiri dengan majoriti 3,372 undi sekali gus menawan semula kerusi itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.