
Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim, berkata remaja lelaki itu ke Pejabat Imigresen Pusat Transformasi Bandar (UTC) Komtar membuat permohonan pasport Malaysia sambil ditemani seorang wanita tempatan menyamar sebagai ibunya.
Menurutnya, penyelia bertugas menyedari keadaan fizikal suspek tidak sepadan kanak-kanak 10 tahun dan tidak memahami sebarang soalan dikemukakan.
Susulan itu, katanya, siasatan awal dilakukan ketua pejabat ke atas suspek dan wanita tempatan terbabit.
“Siasatan awal mendapati remaja berkenaan tidak boleh berbahasa Melayu dan percakapannya bukan dalam dialek Tamil yang lazim digunakan orang India di Malaysia,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, siasatan awal membawa kepada pengakuan wanita terbabit bukan ibu suspek dan dia menerima sejumlah wang sebagai ganjaran berbuat demikian, manakala lelaki itu mengaku dia warga Sri Lanka.
Menurutnya, kedua-duanya ditahan di bawah Akta Pasport 1966 untuk siasatan dan tindakan lanjut.