Tok Mat kecam kelompok ‘rampas Islam’, buat macam milik parti

Tok Mat kecam kelompok ‘rampas Islam’, buat macam milik parti

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata lebih merbahaya apabila sesiapa tidak bersama kelompok itu dilabel sebagai mengancam Islam.

Mohamad Hasan mengingatkan Islam mesti dipersembah secara berhikmah, moden, dan intelektual serta tidak diukur guna neraca politik.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mendakwa ada kelompok parti telah ‘merampas Islam’ seperti agama ini milik tunggal mereka.

Beliau berkata, lebih berbahaya apabila sesiapa yang tidak bersama kelompok itu dilabel sebagai mengancam Islam atau gagal mendukung Islam, sehingga memecah-belahkan perpaduan orang Melayu.

“Mereka sesungguhnya menggunakan Islam, untuk memecah-belahkan orang Melayu di negara ini.

“Malah, menakut dan menjauhkan Islam dari sanubari dan hormat golongan bukan Islam terhadap agama suci ini,” katanya ketika berucap merasmikan perhimpunan agung Wanita, Pemuda, dan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Tanpa merujuk mana-mana parti politik, beliau berkata kesan daripada pendekatan ekstrem itu Islam menjadi lemah dan terancam.

Justeru, beliau menggesa akar umbi Umno menjelaskan kepada orang luar bahawa Umno tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

“Islam mesti kita persembahkan secara berhikmah, moden, dan intelektual. Bukan dengan jalan menghukum, mencerca atau membeza-bezakan manusia.

“Islam adalah agama yang suci, dan tidak pernah sesekali mengajar kita untuk mengkastakan keimanan dan keislaman seseorang menggunakan neraca politik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.